Kadar inflasi negara meningkat 1.8 peratus
SHAH ALAM - Inflasi keseluruhan negara meningkat kepada 1.8 peratus pada Februari 2024 berbanding 1.5 peratus pada Januari tahun yang sama.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan berkata, manakala inflasi teras kekal tidak berubah pada 1.8 peratus sejak sebulan yang lepas.
"Peningkatan inflasi didorong terutamanya oleh inflasi yang lebih tinggi untuk utiliti berikutan semakan kenaikan tarif air pada awal Februari.
"Bagi inflasi teras, inflasi untuk makanan dari luar rumah lebih tinggi sebahagian besarnya diimbangi oleh inflasi lebih rendah untuk sewa sebenar yang dibayar oleh penyewa," katanya pada Jumaat.
Tambah kenyataan itu, indeks pengeluaran industri perkilangan pula meningkat sebanyak 3.7 peratus pada bulan Januari 2024 berbanding -1.4 peratus pada Disember tahun lepas.
"Pertumbuhan kelompok berorientasikan eksport meningkat berikutan pengeluaran produk kimia, getah dan plastik yang lebih kukuh manakala pengeluaran elektrik dan elektronik mencatatkan pemulihan sederhana.
"Sementara itu, pertumbuhan kelompok berorientasikan dalam negeri bertambah baik, mencerminkan peningkatan pengeluaran peralatan pengangkutan dan bahan binaan," jelasnya.
Dalam pada itu, kualiti aset sistem perbankan kekal utuh apabila nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan secara amnya kekal stabil masing-masing pada 1.6 peratus dan 1 peratus.
"Nisbah perlindungan kerugian pinjaman termasuk rizab pengawal seliaan terus berada pada paras berhemat sebanyak 120 peratus (Januari 2024: 120.8 peratus) daripada jumlah pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.5 peratus daripada jumlah pinjaman," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!