RM219.6 juta naik taraf perparitan, selenggara kolam takungan

Nga Kor Ming. Foto Bernama
Nga Kor Ming. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan sebanyak RM219.6 juta untuk menaik taraf perparitan dan menyelenggara kolam takungan dari tahun 2023 hingga 2024.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, sebanyak RM49.59 juta diperuntukkan bagi projek menaik taraf perparitan dan longkang kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) pada tahun 2023 dan RM20 juta pada 2024.

Katanya, bagi projek penyelenggaraan kolam takungan banjir di kawasan PBT, peruntukan yang disalurkan sebanyak RM100 juta pada tahun 2023 dan RM50 juta pada tahun 2024.

"Selain itu, KPKT telah menerapkan Pelan Induk Saliran Mesra (PISMA) dalam perancangan bandar mengikut hasil keputusan Majlis Perancangan Fizikal Negara 2023.

"Data pelaksanaan kajian PISMA di Malaysia menunjukkan bahawa sebanyak 32 kawasan telah menyelesaikan pelaksanaan projek ini, manakala tujuh kawasan dalam proses penyediaan kajian dan 10 kawasan masih dalam proses perancangan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Kor Ming, antara faktor kejadian banjir kilat di Malaysia ialah perubahan pola taburan hujan, kesan urbanisasi dan pembangunan tidak bersepadu serta sistem saliran yang kapasitinya tidak mencukupi.

"Suruhanjaya Tinggi British Kuala Lumpur telah menganjurkan Perbincangan Meja Bulat tentang Pengurusan dan Tindak Balas Banjir Berkesan di Bandar dari 25 hingga 26 Mac 2024 dengan menghimpunkan pakar dan pihak berkepentingan untuk menangani cabaran mendesak banjir bandar.

Artikel Berkaitan:

"Dianjurkan bersama dengan kerjasama pakar terkemuka dari United Kingdom dan Malaysia dalam pengurusan banjir serta ketahanan iklim.

"Acara itu mempamerkan kepakaran bersama KPKT dalam bidang ini, jurang yang perlu ditangani, dan bidang untuk kerjasama masa depan," jelasnya

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!