Pahang pertimbang beri bonus raya kepada penjawat awam

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang sedang mempertimbangkan cadangan pemberian bantuan khas Aidilfitri kepada kira-kira 8,000 penjawat awam di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan sebelum ia diputuskan.

"Kita sedang mengkaji kedudukan kewangan negeri. Sebenarnya dipertimbangkan bantuan khas Aidilfitri tidak semestinya untuk diluluskan. Namun, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan bantuan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Dividen Ladang Usahasama Integrasi Lembu dan Sawit PPRT Bukit Gayong kepada peserta E-Kasih di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA), Datuk Zamri Yaakob.

Awal tahun ini, kerajaan Pahang telah meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) satu bulan setengah gaji atau minimum RM2,000 kepada penjawat awam Pahang secara sekali bayar.

Zamri (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Wan Rosdy sebagai bayaran kepada kerajaan Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah pada Jumaat.
Zamri (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Wan Rosdy sebagai bayaran kepada kerajaan Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah pada Jumaat.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, seramai 336 peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), masing-masing menerima RM5,306 membabitkan jumlah keseluruhan bayaran berjumlah RM1.78 juta bagi pembayaran berakhir tahun 2022.

Artikel Berkaitan:

Dengan pembayaran dividen itu, Wan Rosdy menasihatkan semua peserta berjimat cermat dan berhemah ketika berbelanja.

"Namun, sudah pasti pembayaran dividen ini menjadi lebih bermakna kerana kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

"Kerajaan negeri percaya dividen yang diterima ini dapat meringankan beban kepada peserta," katanya.

Sementara itu, Zamri menyuarakan rasa bersyukur dan berbangga kerana dapat menyumbang RM2.574 juta sebagai bayaran kepada kerajaan Pahang.

Jelasnya, bayaran itu hasil usahasama Ladang Usahasama Integrasi Lembu dan Kelapa Sawit PPRT Bukit Gayong, Muadzam Shah di Rompin.

"Untuk projek usahasama ini, kita telah menanam kelapa sawit seluas 1.47 hektar dan ditambah pula dengan ternakan lembu fidlot sebanyak 287 ekor.

"Kedua projek ini mendatangkan hasil sangat baik kepada ladang PPRT. Pendapatan daripada kedua-dua projek itu mampu berdaya saing dengan ladang-ladang di sekitarnya," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!