Tang Jie-Ee Wei perlu bijak pilih kejohanan

Tang Jie (kanan)-Ee Wei bakal galas cabaran negara di Paris 2024.
Tang Jie (kanan)-Ee Wei bakal galas cabaran negara di Paris 2024.
A
A
A

BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei disarankan agar bijak memilih bilangan kejohanan yang akan disertai mereka menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirai 26 Julai ini.

Bekas pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying berkata, langkah itu bagi mengelakkan kecederaan buat gandingan tersebut yang kini berada di ranking kelapan dalam kelayakan Olimpik untuk membuat penampilan pertama di temasya berprestij itu.

“(Pengiraan) Mata Olimpik pun sudah nak tutup jadi saya rasa sekarang ialah masa untuk latihan sebagai persediaan ke Olimpik.

“Mungkin kita boleh main lagi beberapa kejohanan tidak lebih daripada lima sebelum Olimpik,” katanya selepas menghadiri tayangan muzik video 'Swing It, Work It, Shake It' di Emhub, Petaling Jaya pada Jumaat.

Setiap negara mempunyai kuota maksimum dua wakil bagi satu kategori jika kedua-duanya menghuni kedudukan lapan terbaik sehingga tarikh akhir kelayakan 28 April ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu turut berpendapat pakar psikologi mampu meningkatkan kekuatan mental Tang Jie dan Ee Wei yang juga naib juara Terbuka Switzerland 2024 itu.

“...mereka boleh mempamerkan aksi yang baik tetapi mungkin terlalu nak menang jadi boleh menyebabkan prestasi mereka turun naik.

“Saya rasa keyakinan mereka memang ada tetapi mungkin keinginan mereka terlalu tinggi jadi keadaan yang tak seimbang untuk sekarang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Liu Ying turut mencadangkan beregu itu supaya membuat persiapan berhubung kekuatan mental yang boleh membantu mereka dalam aksi di Olimpik. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!