Bagi duit raya bukan kesalahan - Dr Akmal
BAGAN DATUK - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan tindakannya memberikan duit raya kepada anggota polis secara terbuka bukan satu kesalahan.
Menurutnya, pemberian tersebut merupakan sumbangan zakat yang menjadi tradisi sejak sebelum menjadi wakil rakyat.
Jelasnya, sumbangan itu juga bukan hanya kepada pihak polis tetapi turut diberikan kepada kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Inilah hasil zakat saya. Ini isu terpencil, tak perlu diperbesarkan lagipun diberi pada bulan Ramadan secara terbuka dan dapat kebenaran.
"Saya berpegang dengan prinsip kalau kita tak boleh nak buat baik jangan halang orang buat baik," katanya kepada pemberita ketika selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Dewan Perdana, Kompleks UMNO Bahagian Bagan Datuk, di sini pada Jumaat.
Beliau hadir menyaksikan Majlis Penyerahan Sumbangan UMNO kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) untuk bantuan kepada rakyat Palestin berjumlah RM1 juta.
Dr Muhamad Akmal berkata, jika perbuatan itu merupakan satu kesalahan, mereka yang tidak berpuas hati boleh membuat laporan kepada pihak berkaitan.
Menurutnya, memberi duit raya kurang RM100 bukan satu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jelasnya, pemberian duit raya tersebut sebagai tanda penghargaan kepada pihak polis dan kakitangan kerajaan.
Terdahulu, video pemberian sumbangan duit raya tersebut yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok serta Facebook Muhamad Akmal tular dan mendapat kritikan daripada netizen.
Sementara itu mengenai kes ugutan bunuh yang diterimanya, Dr Muhamad Akmal menjelaskan pihak polis sudah pun memanggilnya untuk memberikan keterangan.
Beliau turut dimaklumkan bahawa individu yang mengugutnya itu juga sudah pun ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.
"Jadi sekarang saya tunggu tindakan selanjutnya. Saya akan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan saya serahkan kepada pihak polis untuk siasatan sepenuhnya.
"Ugutan itu tidak sekali-kali membuatkan saya gentar dan tidak akan mengubah prinsip saya," katanya.
Terdahulu, media melaporkan Dr Muhamad Akmal dimaklumkan mengenai ugutan bunuh terhadapnya selepas dihubungi seorang individu tidak dikenali ketika dalam perjalanan ke program rasminya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!