Optimum penggunaan tanah pekebun kecil
BAGAN DATUK - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan mengoptimumkan tanah pekebun kecil getah seluas 257,000 hektar di seluruh negara bagi program agro makanan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah kawasan tersebut melibatkan tanah yang tidak digunakan langsung dan tanah yang tidak digunakan sepenuhnya.
Menurutnya, cadangan mengenai perkara tersebut telah dibincangkan atas nasihat Jawatankuasa Penasihat Ekonomi Perdana Menteri yang bertujuan menambah pendapatan pekebun kecil getah.
"Kita menggunakan sepenuhnya tanah-tanah yang kira-kira seluas 257,000 hektar sama ada tidak digunakan langsung atau tidak digunakan sepenuhnya.
"Apa yang dirancangkan ialah tanah tersebut supaya dijadikan kawasan pengeluaran tanaman keterjaminan makanan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Dewan Perdana, Kompleks UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini pada Jumaat.
Ahmad Zahid menjelaskan antara tanaman yang dicadangkan termasuklah serai, lengkuas dan halia.
Menurutnya, program tanaman tersebut dijangka dimulakan selepas Hari Raya Aidilfitri dan hasilnya dijangka diperoleh dalam tempoh singkat di antara satu hingga tiga tahun.
Jelasnya, sebelum ini juga program agro makanan sudah pun dimulakan dengan penternakan ayam, lembu, kambing dan itik.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengumumkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperkenal Model Pengeluaran Getah Negara (PETARA) yang akan membantu meningkatkan pengeluaran hasil getah asli negara.
Beliau berkata, bagi menjayakan misi itu, pihak kementerian memperuntukkan RM57.15 juta melalui sektor pekebun kecil di seluruh negara.
Menurutnya, PETARA merupakan model hala tuju baharu RISDA dalam usaha memastikan sektor itu menuju kelestarian melalui Aspirasi Desa Madani yang diperkenalkan KKDW.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!