Anggota polis maut dalam perjalanan ke tempat kerja
JEMPOL - Seorang anggota polis maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 6 Jalan Bahau-Kemayan di sini pada Jumaat.
Kejadian jam 1 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Koperal Mohd Nadzir Ibrahim, 39, dari Cawangan Pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dalam perjalanan dari arah Bahau menuju ke tempat kerjanya.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa telah dilanggar oleh sebuah treler dari laluan bertentangan.
"Treler yang dipandu lelaki berusia 29 tahun itu hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan motosikal mangsa.
"Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, pemandu treler berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
Tambahnya, saksi kejadian diminta menghubungi Inspektor Mohd Amirul Syafiq Mohd Yusof di talian 016-2348669 bagi membantu siasatan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!