Wanita terkejut nampak mayat lelaki terapung dalam sungai
TUMPAT - Seorang wanita terkejut apabila menjumpai mayat lelaki dalam keadaan terapung di dalam sungai di Kampung Baru Nelayan, di sini pada Jumaat.
Mayat lelaki yang lengkap berpakaian itu ditemui pada jam 1.40 petang.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Khairil Shafie berkata, sejurus menerima panggilan telefon sepasukan anggota dari Balai Polis Tumpat telah bergegas ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan awal secara luaran mendapati mayat itu lengkap berpakaian iaitu baju t-shirt dan berseluar pendek.
"Pemeriksaan lanjut mendapati, tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, mayat terbabit kemudian berjaya dibawa naik dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat.
Ujarnya, mangsa telah dibawa ke Hospital Kelaboran, Tumpat untuk bedah siasat.
Tambah beliau, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan lemas.
"Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!