Malaysia teliti kaedah laksana insentif cukai konsert seperti Thailand
PUTRAJAYA - Kerajaan sedang meneliti kaedah pelaksanaan insentif cukai bagi penganjuran konsert di negara ini seperti yang dilakukan oleh Thailand, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, kerajaan kini melihat beberapa aspek dari segi pelepasan cukai dalam insentif itu dan menekankan bahawa Malaysia sebelum ini pernah memiliki kaedah serupa yang dikenali sebagai Fimi atau Insentif Penerbitan Filem di Malaysia.
"Antara cadangan ialah menamakan ia sebagai Cemi iaitu bagi singkatan Concerts and Events in Malaysia,” katanya kepada media semasa program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ramadan tahunan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini pada Jumaat.
Fahmi berkata, insentif seperti itu adalah bagi menarik lebih banyak penganjuran acara besar ke negara ini sekali gus membina sistem yang lebih lancar di Malaysia.
"Bagaimanapun, kita perlu melakukan penyelarasan antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan Kementerian Kewangan untuk melihat jenis-jenis insentif yang kita boleh tawarkan.
"Ini bukan hanya berkisar kepada rebat sebaliknya untuk menjadikan ia lebih lancar, mudah dan pantas selain memastikan semua kemudahan adalah mencukupi bagi penganjuran acara yang ingin kita tarik ke negara ini,” katanya.Media antarabangsa baru-baru ini melaporkan Thailand menawarkan pelepasan cukai kepada penganjur konsert antarabangsa yang besar, program sukan dan festival dalam usaha menarik acara penting ke negara itu.
Pada awal bulan ini, bintang antarabangsa Taylor Swift membuat persembahan di Singapura dalam siri jelajah dunia The Eras Tour selepas republik itu berjaya memeterai perjanjian eksklusif dengan beliau untuk menganjurkan konsertnya di rantau ASEAN. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!