Wanita kantoi cuba seludup kumbang 'makhluk asing'

Hanya sebahagian daripada serangga eksotik itu dijumpai masih hidup. Foto Agensi
Hanya sebahagian daripada serangga eksotik itu dijumpai masih hidup. Foto Agensi
A
A
A

GUANGZHOU - Pihak berkuasa di China berjaya menggagalkan cubaan seorang wanita yang mahu menyeludup kira-kira 439 kumbang 'makhluk asing' melalui Lapangan Terbang Guangzhou Baiyun di wilayah Guangdong.

Menurut jurucakap Pentadbiran Kastam Am, individu tersebut tiba di lapangan ketiga paling sesak di Beijing itu pada tarikh yang tidak dinyatakan.

"Dia dilihat berdepan kesukaran mengangkat bagasi miliknya untuk proses imbasan. Tetapi, mesin imbasan X tersebut mengesan objek mencurigakan dalam bagasi berkenaan," jelasnya.

Pemeriksaan lanjut akhirnya menjumpai ratusan kumbang yang dibungkus secara berasingan dan sebahagiannya masih lagi hidup dan merayap ke sekeliling beg.

Akhbar Sing Tao Daily melaporkan wanita itu cuba menyembunyikan serangga itu dalam bungkusan makanan ringan sebagai taktik untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

"Terdapat 11 spesies kumbang yang cuba diseludup termasuk spesies Atlas rhinoceros dan Goliathus orientalis. Kesemuanya dianggap 'makhluk asing' kerana spesies berkenaan bukanlah hidup secara semula jadi di China dan dianggap sebagai serangga eksotik," ujar laporan itu lagi.

Sejak kebelakangan ini, pihak berkuasa kastam telah mempergiatkan pemeriksaan untuk memerangi pasaran haiwan peliharaan eksotik seperti monyet, buaya dan burung tropika.

Pada awal minggu lalu, pihak berkuasa kastam di Xiamen memintas sebuah kapal yang membawa lebih 20,000 lipas hidup hingga menyebabkan unit kawalan perosak dipanggil kerana bimbang serangga tersebut berisiko menyebarkan bakteria Shigella jika ia terlepas.

Artikel Berkaitan:

Di bawah undang-undang negara itu, penghantaran atau membawa masuk haiwan hidup dan tumbuhan ke Beijing adalah dilarang sama sekali. - Agensi

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!