MK Land bantu golongan sasar berbuka puasa secara percuma
SHAH ALAM - MK Land Holding Berhad (MK Land) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyerahkan sumbangan kepada Kumpulan Karangkraf bagi membantu golongan sasar menerusi program Iftar Ala Madinah@Karangkraf.
Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Felina Mustapha Kamal berkata, kolaborasi tersebut adalah inisiatif bagi membantu lebih ramai golongan rentan yang tinggal di kawasan bandar mendapatkan makanan secara percuma.
Menurutnya, menerusi sumbangan daripada badan korporat dapat membantu lebih ramai pihak yang kini terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
Tambah beliau, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga dari segi perbelanjaan berbuka puasa.
“Saya amat tertarik dengan program yang dianjurkan Kumpulan Karangkraf dan dengan sumbangan yang kami berikan ini dapat dikongsi bersama masyarakat.
“Kolaborasi antara badan korporat dan syarikat penerbitan sesuatu yang baik, malah dengan lebih banyak sumbangan, kita boleh membantu lebih kepada orang ramai di luar sana,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, keprihatinan organisasi korporat dalam membantu masyarakat adalah matlamat utama penganjuran program tersebut.
Menurutnya, dengan kerjasama tersebut dapat menarik lebih ramai syarikat untuk bersama-sama memberikan sumbangan bagi membantu golongan B40.
“Hari ini (Khamis) kita menerima kunjungan daripada pihak MK Land yang sudi berbuka puasa bersama kita dan menyerahkan sumbangan.
“Kami berharap MK Land akan terus bekerjasama dengan Kumpulan Karangkraf dalam membantu lebih ramai lagi masyarakat di luar sana,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!