Wanita rugi lebih RM17,000, diperdaya lelaki internet
TANGKAK - Orang ramai khususnya suri rumah diminta berjaga-jaga agar tidak mudah tertipu dengan penipuan di media sosial.
Adun Tangkak, Ee Chin Li berkata, terbaharu, pihaknya menerima laporan membabitkan kes penipuan di media sosial di mana seorang wanita diperdaya untuk membayar sejumlah wang bagi menuntut barang yang disekat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
“Pada awalnya, wanita yang enggan dikenali ini mengaku mengenali seorang lelaki bernama Lee di media sosial Facebook tahun lalu.
“Lelaki ini mendakwa dia tinggal di New York, Amerika Syarikat dan mereka hanya berhubung melalui media sosial semata-mata,” katanya kepada Sinar Harian.
Chin Li berkata, wanita itu bagaimanapun terperangkap apabila lelaki berkenaan meminta alamat kediamannya bertujuan untuk menghantar dokumen pembelian rumah dan meminta mangsa menyerahkan kepada ejen rumah lelaki itu.
“Bagaimanapun pada keesokan harinya, wanita itu telah menerima emel dari seorang individu yang menyatakan beliau merupakan pegawai dari Jabatan Kastam cawangan KLIA.
“Pegawai tersebut memberitahu bahawa dokumen yang diterima itu telah melebihi had berat dan oleh itu, dia perlu membayar denda sebanyak RM3,640 bagi mendapatkannya,” katanya.
Menurut Chin Li, wanita itu kemudiannya terus membuat pembayaran melalui perbankan internet tanpa mengesyaki sesuatu.
“Setelah membuat pembayaran, mangsa menerima lagi emel dari individu sama memaklumkan barang berkenaan mengandungi wang tunai berjumlah USD50,000.
“Wanita itu kemudiannya diminta untuk membuat lagi pembayaran sebanyak RM13,640 bagi menebus semula mata wang itu,” katanya.
Jelasnya, mangsa kemudiannya tersedar ditipu setelah membuat pembayaran RM17,100 melalui transaksi bank kepada pegawai berkenaan sebelum datang ke Pusat Khidmat Adun Tangkak membuat laporan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!