Suami isteri bekal senjata api kepada lelaki Israel diberkas
KUALA LUMPUR - Pasangan suami isteri diberkas disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel yang ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini.
Suspek warga tempatan berusia 42 dan 40 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor kira-kira jam 7.15 malam, pada Jumaat.
Polis kemudian menemui sepucuk pistol dalam beg galas dalam sebuah kereta semasa pemeriksaan di kediaman suspek di Kuala Selangor.
Sumber berkata, suspek lelaki dipercayai individu bertanggungjawab membekalkan enam pistol kepada lelaki warga Israel yang memasuki negara ini menggunakan pasport Perancis.
Difahamkan, pasangan terbabit akan direman hari ini untuk siasatan lanjut.
Pada Jumaat, dalam sidang akhbar, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan penahanan suspek warga Israel berusia 36 tahun di sebuah hotel di Jalan Ampang, Rabu lalu.
Polis turut menemui enam pistol termasuk SIG Sauer, Smith dan Wesson serta Glock selain 200 butir peluru.
Turut dijumpai, dua pasport dimiliki lelaki berkenaan iaitu pasport Perancis yang digunakannya untuk masuk ke Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu serta satu pasport Israel.
Melalui soal siasat, suspek mendakwa datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga, namun polis tidak mempercayai dakwaan itu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!