Kemelut PKR Sabah: Mustapha sedia galas tanggungjawab terajui MPN
KOTA KINABALU - Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Belud, Datuk Mustapha Sakmud sedia mengalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah jika terpilih dan mendapat sokongan majoriti daripada ketua cabang lain.
Bagaimanapun, Mustapha berkata, ia terpulang kepada keputusan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana akhirnya beliau yang akan memilih ketua cabang yang mendapat sokongan majoriti.
"Insya-ALLAH kalau ketua-ketua cabang dan presiden memberi amanah dan tanggungjawab, saya bersedia untuk menggalas tanggungjawab.
"Saya fikir kita pulangkan kepada Presiden Parti Datuk Seri Anwar untuk memilih apa yang terbaik dan kita akan akur dengan apa-apa pun keputusan presiden berpandukan perlembagaan parti iaitu pengerusi MPN yang mendapat sokongan majoriti ketua-ketua cabang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Semarak Ramadan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama UiTM Sabah di sini pada Jumaat.
Sebelum itu, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi diminta mengulas khabar angin bahawa beliau antara individu yang layak dilantik sebagai Pengerusi MPN selepas Datuk Sangkar Rasam tidak lagi mendapat sokongan daripada 15 ketua cabang baru-baru ini.
Diminta mengulas lanjut kemelut tersebut, Mustapha memaklumkan, perkara itu sudah pun dibincangkan dalam Biro Politik Pusat dan keputusan telah dibuat.
"Presiden parti yang juga Perdana Menteri akan turun ke Sabah dijangka pada 20 April untuk sambutan hari raya peringkat negeri dan pada masa sama juga akan ada pertemuan dengan ketua-ketua cabang.
"Jadi kita akan bagi pandangan kita tentang kemelut yang berlaku ini sebab yang kita mahu PKR Sabah ini akan dapat diperkasakan jenteranya dalam kita menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang mungkin akan dibubar pada bila-bila masa.
"Jadi kita mahu ada kumpulan yang kuat yang boleh memimpin PKR negeri supaya kita boleh berurusan bilangan kerusi dan kawasan yang mahu ditandingi nanti," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!