Luluh, naskhah pendek menyentuh hati

Barisan pelakon utama Luluh.
Barisan pelakon utama Luluh.
A
A
A

BAGI memberi kesedaran kepada orang ramai pentingnya untuk menghargai orang tua, apatah lagi dalam musim lebaran yang bakal menjelma, The Chingu membawakan sebuah filem pendek, Luluh.

Filem pendek arahan Mohd Kamarul Ariffin itu dibintangi gabungan The Chingu yang terdiri daripada pempengaruh sosial media iaitu Sallywhoo, MamatGotNoChill, Sabyzrose, Sikemimi, Aaabias, Thelikeyuti, Huzaid Haris, Mia Azahar, Toqzk, Pojie dan penampilan istimewa, Ku Faridah.

Berkongsi mengenai idea pembikinan filem berkenaan, Sallywhoo atau nama sebenarnya, Nur Salihah Aimuni Muhammad Azaham berkata, ia bermula daripada perbualan kosong bersama The Chingu dan mereka sepakat untuk menghasilkan sebuah naskhah yang membawa mesej serta tauladan kepada penonton.

“Tujuan utama penghasilan Luluh adalah untuk memberi mesej kepada penonton.

“Jalan cerita filem ini kami ambil inspirasi daripada kisah sebenar yang berlaku dalam masyarakat kita seperti anak buang ayah atau mak.

“Mesej yang kami sampaikan, tak kira apa yang berlaku haruslah menghargai kedua ibu bapa,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan Luluh di TGV The Strand, Damansara baru-baru ini.

Luluh berdurasi 25 minit itu mengisahkan seorang ibu tunggal yang tinggal di sebuah kampung bersama anak bongsunya, Ucu, manakala lima anak lain sibuk dengan kehidupan masing-masing sehingga tidak mengendahkan Aidilfitri yang bakal menjelma.

Namun langit tidak selalu cerah, dapatkah mereka berkumpul untuk meraikan lebaran bersama ibu tercinta?

Artikel Berkaitan:

Bercerita lanjut mengenai penghasilan Luluh, Sallywhoo berkata, penggambaran berlangsung selama dua hari dan dia bertuah mendapat tunjuk ajar daripada pelakon senior, Ku Faridah serta pengarah yang banyak membantu.

Menurut Sallywhoo, menjadi harapannya agar Luluh yang kini ditayangkan menerusi saluran YouTube The Chingu Entertainment akan mendapat sambutan hangat.

Setakat 29 Mac, filem pendek itu sudah ditonton lebih 500,000.

“Harapnya kami boleh kembangkan lagi dalam filem pendek lain selepas ini.

"Kami akan terus hasilkan naskhah yang boleh beri pengajaran dan emosinya sampai kepada penonton,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!