Tengku Ampuan Pahang tetamu istimewa #QuranHour sempena Nuzul Quran
PEKAN - Keberangkatan tiba Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai tetamu istimewa memberi makna tersendiri kepada program #QuranHour sempena Nuzul Quran yang berlangsung di Muzium Masjid Sultan Abdullah di sini pada Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Marhaini Yusoff berkata, Tunku Azizah berkenan mencemar duli berangkat ke program #QuranHour yang julung kali dianjurkan WUIF dengan kerjasama Muzium Pahang.
Menurutnya, selain barisan pemimpin, program itu juga turut dihadiri pelbagai lapisan masyarakat termasuk dalam kalangan bukan Islam.
"Saya kira luar biasa sebab pertama kali juga ia melibatkan pemimpin bukan Islam termasuk kehadiran Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Leong Yu Man," katanya ketika ditemui pada program itu pada Jumaat.
Antara barisan pemimpin lain yang hadir Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib dan Pengarah Perbadanan Muzium Pahang, Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal.
Bacaan surah al-Jumu'ah dipimpin dua My#QuranTime, Tarmizi Abdul Rahman dan Tirmizi Ali manakala pentadabbur, Ketua Pegawai Penyelidikan & Pembangunan WUIF, Fazrul Ismail
Marhaini berkata, #QuranHour dengan surah pilihan, surah al-Jumu'ah itu fokus kepada pemimpin yang akan membawa tranformasi sosial kepada masyarakat dan negeri.
"Penganjurannya juga bagi membantu mengangkat misi membawa al-Quran ke muzium bukan sebagai bahan pameran semata-mata tetapi mengangkat nilai dan kandungan dalam al-Quran itu sendiri.
"Surah al-Jumu'ah ini banyak terkandung formula menarik untuk reset melalui tranformasi sosial dan kesatuan.
"Ia penting bagi setiap institusi seperti muzium itu sendiri supaya segala yang dilakukan memberi impak kepada komuniti yang ada di sekeliling," jelasnya.
Menurutnya, WUIF bersama pihak muzium telah berbincang sejak tahun lalu untuk program tersebut.
"Kita sebenarnya kagum dengan muzium ini (Muzium Masjid Sultan Abdullah) yang telah pun mula menjadikan naskhah-naskhah dan bahan al-Quran bersejarah sebagai bahan pameran.
"Saya kira program #QuranHour sebagai sebahagian pengisian menuju World #QuranHour 4 April ini seiring dengan usaha yang telah dijalankan pihak Muzim Pahang.
"Alhamdulillah juga kerana bukan sahaja program ini malah ada lagi beberapa acara yang telah disusun bersama untuk tahun ini," ujarnya.
Beliau berkata, program itu menjadi model dan perintis dalam usaha membawa penghayatan dan nilai al-Quran melalui muzium.
"Ia juga seiring dengan matlamat WUIF yang telah memasuki tahun ke-12 penubuhannya untuk mengadakan lebih banyak kerjasama dengan pelbagai pihak sepanjang tempoh 10 tahun kedua ini," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!