Tahan lelaki Israel: Suami isteri dipercayai beli senjata di Thailand
SHAH ALAM - Suami isteri diberkas polis di bazar Ramadan dekat Kuala Selangor pada Jumaat dipercayai membeli senjata api di Thailand sebelum menjualnya kepada lelaki warga Israel yang ditahan pada Rabu lalu.
Menurut sumber, pasangan itu dipercayai membeli senjata itu dari Thailand sebelum diserahkan kepada suspek.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husin mengesahkan perkara terbabit bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Pada Jumaat, dua suspek masing-masing berumur 42 dan 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bazar Ramadan di Kuala Selangor pada jam 7.15 malam.
Polis turut menemukan sepucuk pistol dalam sebuah beg galas dalam kereta Honda Jazz di kediaman mereka yang terletak di Kuala Selangor.
Polis sebelum ini turut menahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highlands, Pahang yang dipercayai pemandu kepada lelaki Israel terbabit sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan taktik seorang lelaki warga Israel menggunakan pasport negara Perancis untuk masuk ke ibu negara terbongkar selepas ditahan di sebuah hotel dekat Jalan Ampang Rabu lalu.
Pemeriksaan ke atas suspek berumur 36 tahun yang masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu turut menemukan enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!