AS, Israel dijangka bincang serangan ke atas Rafah Isnin ini
WASHINGTON - Menurut laporan media, wakil dari Israel dan Amerika Syarikat (AS) dijangka mengadakan pertemuan di sini pada Isnin untuk membincangkan rancangan serangan darat Israel ke atas bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Seorang delegasi Israel pada asalnya dijadualkan tiba pada minggu ini untuk mendengar kebimbangan AS mengenai serangan itu dan akan diberikan pandangan alternatif.
Bagaimanapun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membatalkan perjalanannya selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu meluluskan satu resolusi untuk satu gencatan senjata segera di Gaza tanpa bantahan daripada AS.
Pihak Israel mencadangkan perbincangan itu ditunda sehingga Isnin, kata CNN yang memetik pegawai AS pada Jumaat. - Bernama/dpa
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!