Kuala Krai 'lubuk' kemalangan libatkan lembu

Sebanyak 23 kes kemalangan melibatkan lembu direkodkan di kawasan Kuala Krai bermula Januari tahun ini.
Sebanyak 23 kes kemalangan melibatkan lembu direkodkan di kawasan Kuala Krai bermula Januari tahun ini.
A
A
A

KUALA KRAI - Kuala Krai menjadi 'lubuk' kemalangan melibatkan lembu apabila sebanyak 23 kes dicatatkan di kawasan ini bagi tahun 2024 bermula Januari hingga Jumaat.

Daripada jumlah itu, seorang wanita berusia 35 tahun menjadi korban akibat haiwan berkenaan dalam kejadian di kilometer 80 Jalan Gua Musang - Kota Bharu di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berkait kemalangan itu pada jam 7.24 pagi melibatkan motosikal dengan seekor lembu.

Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu yang melintas jalan di kilometer 80 Jalan Gua Musang - Kota Bharu pada Jumaat.
Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu yang melintas jalan di kilometer 80 Jalan Gua Musang - Kota Bharu pada Jumaat.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan ini dipercayai berlaku semasa penunggang motosikal dalam perjalanan dari RPT Chuchoh Puteri B menghala ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk pergi bekerja.

"Apabila sampai di lokasi mangsa, Norsyamimi Mayedin telah melanggar seekor lembu yang sedang melintas jalan.

"Akibat pelanggaran tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurut beliau, jenazah mangsa telah dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan sama, Mazlan memberitahu, daripada 23 kes tersebut 20 kes melibatkan kerosakan kenderaan dan dua kecederaan.

Beliau berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan agar berhati-hati semasa berada di sekitar kawasan Kuala Krai yang selalu merekodkan kemalangan melibatkan lembu.

Tambah beliau, laluan itu terutamanya di kawasan Telekong, Keroh, Batu Jong, Pahi, Bukit Ahkim dan kawasan Laloh.

"Pemilik lembu juga dinasihatkan agar memastikan haiwan peliharaan mereka tidak dilepaskan sewenang-wenangnya dikhuatiri boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!