Polis rampas 1,676 karton rokok seludup

Polis merampas 1,676 karton pelbagai jenis rokok seludup selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Kelar, Pasir Mas pada Jumaat.
Polis merampas 1,676 karton pelbagai jenis rokok seludup selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Kelar, Pasir Mas pada Jumaat.
A
A
A

PASIR MAS - Polis merampas 1,676 karton pelbagai jenis rokok seludup selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Kelar di sini pada Jumaat.

Serbuan jam 7.05 pagi itu dilakukan hasil intipan selama satu jam yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dan unit kereta peronda polis (MPV).

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, hasil serbuan yang dilakukan ke atas rumah tersebut membawa kepada penemuan kotak-kotak rokok di bahagian bilik sebelah belakang dapur.

"Pemeriksaan lanjut mendapati rokok berkenaan belum diluluskan cukai oleh pihak kastam," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Serbuan jam 7.05 pagi itu dilakukan hasil intipan selama satu jam yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Pasir Mas dan unit kereta peronda polis.
Serbuan jam 7.05 pagi itu dilakukan hasil intipan selama satu jam yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Pasir Mas dan unit kereta peronda polis.

Menurut beliau, nilai rampasan keseluruhan termasuk cukai berjumlah RM348,816.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Kama Azural memberitahu, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, polis tidak menolak kemungkinan rokok tersebut untuk pasaran tempatan.

"Identiti suspek di dalam kes ini telah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

"Pihak polis memberi amaran kepada individu yang masih terlibat dalam pelanggaran undang-undang ini agar menghentikan kegiatan ini atau tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Menurut Kama Azural, pihaknya akan terus membanteras dan memastikan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi, arak dan rokok yang menyebabkan kerugian kepada hasil dalam negara.

"Justeru itu, pihak polis ingin menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti penyeludupan boleh disalurkan terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di talian 09-7932222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!