LRT Pulau Pinang: SAM kesal Kabinet tak peduli keluhan rakyat

Meenakshi (kiri) dan Laporan Sinar Harian
Meenakshi (kiri) dan Laporan Sinar Harian
A
A
A

GEORGE TOWN - Badan bukan kerajaan, Sahabat Alam Malaysia (SAM) kesal apabila Kabinet tidak mempedulikan suara kumpulan masyarakat yang meminta agar kajian semula dilakukan terhadap cadangan Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri ini.

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, ini kerana projek terbabit melibatkan kos yang amat tinggi selain anggaran penggunaan yang berlebihan manakala lokasi pembinaan depo LRT juga menjadi perdebatan kerana didakwa akan merosakkan kawasan alam sekitar.

"Kami kecewa kerana Kabinet tidak mempedulikan gesaan yang dibuat oleh kumpulan masyarakat sivil di Pulau Pinang, malah projek LRT tetap akan dilaksanakan di negeri ini.

"Urus tadbir kerajaan juga harus dipertikai kerana ketika isu-isu ini dibawa ke muka pengadilan dan sedang menunggu keputusan mahkamah, Kabinet telah membuat keputusan tidak konsisten seperti ini," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Pada Jumaat, kerajaan memutuskan secara rasmi mengambil alih pembangunan Projek LRT Laluan Mutiara daripada Kerajaan Pulau Pinang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan itu susulan kelulusan diberikan Jemaah Menteri pada 22 Mac lalu untuk kerajaan Persekutuan mengambil alih projek berkenaan.

Katanya, kerja pembinaan projek LRT Laluan Mutiara itu disasarkan bermula tahun ini dan dijangka memerlukan tempoh masa kira-kira enam tahun untuk disiapkan serta beroperasi pada tahun 2030.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan Pusat akan menambah dana dalam satu skim yang besar untuk melaksanakan perkhidmatan LRT di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Sebagai alternatif, kerajaan Pusat akan menyediakan skim dalam jumlah dana yang besar dan mencukupi kepada Pulau Pinang untuk melaksanakan segera projek LRT.

Bagaimanapun, susulan daripada pengumuman itu, Anthony mengesahkan Kerajaan Pusat telah memuktamadkan bahawa depo LRT tidak akan dilaksanakan di Pulau Silikon yang bakal dibangunkan dalam Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).

Kata beliau, depo tersebut akan dibangunkan di tapak sedia ada namun lokasi tapak tersebut masih dalam perbincangan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!