SkyWorld jalin kerjasama strategik bersama RHB, promosi rumah hijau
PEMAJU bandar, SkyWorld Development Berhad (SkyWorld) menjalin kerjasama strategik dengan RHB Banking Group (RHB) untuk mempromosikan kempen pemilikan rumah berkonsepkan hijau bagi pembelian projek kediaman The Vesta Residences dan Curvo Residences.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld, Lee Chee Seng berkata, ia adalah kerjasama sulung antara kedua-dua pihak untuk memperkenalkan skim Pembiayaan Rumah Hijau bagi projek rumah pihaknya.
Menurutnya, RHB menawarkan margin yang lebih tinggi iaitu 95 peratus bagi skim pembiayaan tersebut melebihi kadar gadai janji konvensional sebanyak 90 peratus.
“Kami menekankan reka bentuk pasif dalam semua perkembangan, memfokuskan pada analisis penting termasuk pencahayaan siang hari, keselesaan terma, pengudaraan silang, kecekapan tenaga dan air, susun atur serta penilaian alam sekitar.
“Melalui kerjasama ini, kami menyasarkan untuk memberi insentif kepada pembeli SkyWorld untuk melabur dalam rumah yang mesra alam, diperakui hijau dan menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan.
“Kami mengejar amalan bangunan mampan bukan semata-mata komitmen namun ia adalah asas falsafah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
The Vesta Residences adalah projek terbaharu SkyWorld mewakili fasa kedua pembangunan bercampur SkySierra seluas 13.6 ekar di Setiawangsa, Kuala Lumpur.
Projek tersebut memiliki ciri-ciri hijau meliputi sistem pengurusan sisa automatik (AWCS), sistem pengumpulan air hujan, peralatan kebersihan kecekapan air, lif regeneratif, penggunaan bahan landskap sejuk dengan Indeks Reflektif Suria (SRI) tinggi dan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV).
Selain itu, Curvo Residences pula adalah fasa kediaman terakhir pembangunan induk SkyArena dengan keluasan 28 ekar di Setapak, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Pengarah Urusan Perbankan Komuniti RHB, Jeffrey Ng Eow Oo berkata, pihaknya sentiasa berusaha menyokong inisiatif ke arah kelestarian dengan menyediakan pakej pembiayaan dalam bidang tersebut.
“Pada 2023, kami telah menyediakan pembiayaan bernilai hampir RM700 juta untuk menyokong pembangunan dan pensijilan bangunan hijau di negara ini.
"Kerjasama dengan SkyWorld menunjukkan komitmen berterusan kami dan menggariskan misi kolektif untuk mempercepatkan pertumbuhan hijau dan kemajuan ke arah masa depan yang lebih mampan untuk semua,” ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!