Dapat upah RM30,000 bawa masuk dadah dari Thailand

Kok Chin menunjukkan ruangan yang diubah suai untuk dimasukkan bungkusan dadah.
Kok Chin menunjukkan ruangan yang diubah suai untuk dimasukkan bungkusan dadah.
A
A
A

SHAH ALAM - Empat individu termasuk pengurus syarikat bas persiaran disyaki menerima upah sekitar RM15,000 hingga RM30,000 bagi setiap urusan membawa masuk dadah ke negara ini sejak enam bulan lalu.

Bagaimanapun, punca hasil hidup mewah kesemua suspek itu terbongkar susulan rampasan syabu bernilai RM10.3 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Lembah Klang pada Rabu.

Dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran menerusi Utara tanah air merentasi beberapa buah negeri sebelum dijual untuk pasaran dalam dan luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, operasi dijalankan JSJN Bukit Aman bersama JSJN Selangor, Kedah dan Terengganu.

Kok Chin
Kok Chin

Beliau berkata, serbuan dijalankan susulan risikan dan maklumat yang dijalankan berkaitan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah berkenaan.

"Empat suspek ditahan berumur lingkungan 23 hingga 40 tahun berperanan sebagai pengedar serta koordinator yang membawa masuk dadah berkenaan.

"Dadah jenis syabu seberat 312.7 kilogram yang dirampas dianggarkan bernilai RM10.3 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Mess Pegawai, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Sabtu.

Katanya, modus operandi suspek adalah menyeludup masuk dadah dari Thailand ke negara ini menggunakan kenderaan yang diubah suai dengan ruangan khas melalui Bukit Kayu Hitam.

"Kesemua dadah ini dibawa ke stor penyimpanan sekitar Kedah dan dibawa ke sebuah stor simpanan yang merupakan rumah teres dua tingkat di Selangor," katanya.

Menurutnya, dadah terbabit kemudiannya akan dibungkus sebelum dijual.

"Siasatan mendapati dadah dijual untuk pasaran tempatan dan pasaran luar negara menggunakan khidmat syarikat penghantaran.

Kok Chin (tengah) menunjukkan antara bungkusan dadah jenis syabu yang dirampas susulan serbuan sebuah rumah di Lembah Klang pada Rabu.
Kok Chin (tengah) menunjukkan antara bungkusan dadah jenis syabu yang dirampas susulan serbuan sebuah rumah di Lembah Klang pada Rabu.

"Semakan mendapati kegiatan dilakukan sejak Oktober tahun lalu," katanya.

Kok Chin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kesemua suspek kini direman enam hari untuk siasatan lanjut.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengesan beberapa individu lain dipercayai terlibat dalam kegiatan ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!