Rumah dipenuhi 11 tan sampah
IPOH - Sebanyak 11 tan sampah sarap dibersihkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam operasi pembersihan sebuah rumah di Taman Cempaka dekat sini pada Sabtu.
Rumah tidak berpenghuni itu didapati telah dijadikan tempat pengumpulan barang terpakai dan sampah oleh seorang wanita berusia 74 tahun yang tinggal berhampiran sejak setahun lalu.
Difahamkan, warga emas tersebut sering menaiki basikal membawa sampah yang dikutip dari kawasan kejiranan lalu membuangnya di rumah itu.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, aduan kes diterima daripada penduduk setempat pada Februari lalu yang terganggu dengan keadaan bau busuk.
Menurutnya, susulan aduan tersebut, MBI mengeluarkan notis menghapus kacau ganggu sebanyak dua kali dan ditampal di rumah terbabit, namun tidak dipedulikan.
"Seramai 20 anggota daripada agensi kerajaan dan anggota Majlis terlibat dalam kerja-kerja pembersihan ini bermula jam 9 pagi tadi.
"Dalam operasi ini kita temui antaranya polisterin, beg plastik, tin minuman, botol kaca, tong plastik dan kotak kertas yang semuanya dibiarkan dalam keadaan berselerak dan tidak terurus di kawasan rumah," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Beliau berkata, semua sampah sarap yang dikeluarkan itu telah dibawa ke tapak pelupusan sisa pepejal untuk dilupuskan.
Katanya, MBI turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM500 kepada orang kena notis (OKN) kerana gagal menjalankan kerja-kerja pembersihan premis seperti dikehendaki.
"Operasi pembersihan tamat sekitar jam 10 pagi tanpa sebarang kejadian tidak diingini," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!