Ambil kira faktor cuaca sebelum laksana pembenihan awam - Nik Nazmi
KOTA BHARU - Faktor cuaca, arah angin akan diambil kira oleh kerajaan sebelum membuat keputusan sama ada mahu melaksanakan pembenihan awan atau sebaliknya.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara tersebut sudahpun dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK).
"Soal pembenihan awam ini, biasanya dibuat oleh TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) dan MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) yang akan memberi panduan mengenai perkara tersebut.
“Pembenihan awan akan dilakukan berdasarkan faktor cuaca, angin dan awan yang betul. Sekiranya sesuai, kita akan jalankan pembenihan awan," katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Forum Profesional Anak Kelantan 2024 di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, mengikut ramalan MetMalaysia, cuaca semakin baik semasa peralihan monsun nanti.
Ujarnya, setakat ini bekalan air di empangan-empangan masih terkawal.
Sementara itu, media tempatan pada Jumaat melaporkan enam belas daerah di negara ini tidak menerima hujan melebihi 15 hari, paling lama adalah dua daerah di Sabah iaitu Lahad Datu dan Papar, masing-masing 'kering' selama 29 dan 28 hari.
Langkawi pula melalui 22 hari tanpa hujan; Pasir Puteh di Kelantan (21 hari); Kota Belud, Kota Kinabalu dan Putatan di Sabah (19 hari); Labuan (18 hari) serta Jelebu dan Port Dickson di Negeri Sembilan (17 hari).
Enam lagi daerah tidak menerima hujan selama 16 hari, iaitu Muar di Johor; Jeli, Kota Bharu dan Kuala Krai di Kelantan; Temerloh di Pahang dan Chuping, Perlis.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!