Pan Gon, barisan kejurulatihan Harimau Malaya hantar surat sedia undur diri?

Kim Pan Gon - Foto: Bernama
Kim Pan Gon - Foto: Bernama
A
A
A

KETUA jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon dan barisan kejurulatihannya dikhabarkan kecewa dengan situasi yang melanda skuad kebangsaan sehingga bersedia sekiranya terpaksa meninggalkan pasukan negara.

Perkara itu didedahkan sumber terdekat dengan pengurusan pasukan kebangsaan berkata, Pan Gon dan barisan kejurulatihannya telah menghantar surat kepada FAM baru-baru ini, menyatakan kesanggupan ‘berpisah’ dengan pasukan negara seandainya khidmat mereka tidak diperlukan lagi.

Sumber berkata, pengendali berusia 54 tahun itu dan barisan kejurulatihannya juga hanya meminta bayaran gaji selama tiga bulan sebagai pampasan jika ‘berpisah’ dalam masa terdekat.

Pengendali dari Korea Selatan itu mempunyai baki kontrak bersama Harimau Malaya sehingga Januari 2025.

"Saya diberitahu barisan kejurulatihan Harimau Malaya termasuk Pan Gon sudah menghantar surat itu dan bersedia jika khidmat mereka tidak diperlukan lagi dan hanya minta dibayar tiga bulan gaji jika ia berlaku dalam masa terdekat,” kata sumber kepada Bernama.

Sumber tidak menolak kemungkinan tindakan Pan Gon bersama barisan kejurulatihannya itu disebabkan rasa kecewa dan ketidakpuasan hati atas beberapa perkara yang berlaku dalam skuad kebangsaan sebelum ini.

Baru-baru ini Malaysia mengalami dua kekalahan berturut-turut 0-2 kepada Oman pada saingan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 sekali gus mengalami prestasi tidak menentu sejak saingan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lepas.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman ketika dihubungi hari ini menafikan dakwaan itu.

Artikel Berkaitan:

"Pan Gon masih ada kontrak dan beliau profesional, pasukan masih ada baki dua perlawanan (Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027) pada Jun dan peluang belum tertutup,” katanya.

Bersama Malaysia, Pan Gon menikmati rekod yang memberangsangkan apabila berjaya mentransformasikan pasukan negara sehingga layak secara merit ke Piala Asia selepas 42 tahun, muncul naib juara Piala Raja Thailand 2022 dan naib juara Pestabola Merdeka 2023.

Selain itu, sentuhannya menyaksikan kedudukan Malaysia dalam ranking dunia meningkat dengan mendadak daripada posisi ke-154 kepada kedudukan terbaik di tempat ke-130.

Pan Gon membawa empat pembantunya iaitu jurulatih penjaga gol, jurulatih kecergasan dan juruanalisis ketika dilantik sebagai pengendali Harimau Malaya pada Januari 2022 selain dibantu penolong ketua jurulatih tempatan E. Elavarasan.

Sebelum ini, beliau menggalas tugas sebagai Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bolasepak Korea dan pernah membimbing Hong Kong. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!