Bumbung bangunan Kolej Matrikulasi Changlun terbakar dipanah petir
CHANGLUN - Bumbung sebuah bangunan Kolej Matrikulasi Changlun di sini, terbakar selepas dipercayai dipanah petir pada petang Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, Zulkifli Manaf berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 5.41 petang.
Menurutnya, sebuah jentera, van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan Pajero BBP Bukit Kayu Hitam bersama sembilan anggota bergegas ke lokasi kebakaran.
"Pasukan keluaran operasi melaporkan sebaik tiba di lokasi mendapati terdapat kebakaran di bahagian bumbung bangunan dipercayai akibat disambar petir.
"Tindakan pasukan seterusnya adalah memadam kebakaran dengan satu aliran dua pancutan dan membuat pemerhatian secara menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan pada malam Sabtu.
Zulkifli berkata, pasukan gantian telah dikerah ke Blok C2 kolej matrikulasi itu yang menyaksikan tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Tambah beliau, maklumat penuh mengenai kejadian tersebut sedang dikemas kini pihaknya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!