Kerjasama Muafakat Nasional di peringkat akar umbi masih kuat

Mohd Asri
Mohd Asri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerjasama Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas di peringkat akar umbi masih kuat walaupun terdapat pemimpin yang tidak mahu meneruskan hubungan erat daripada kedua-dua parti itu.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat, Mohd Asri Mat Daud berkata, pembentukan Muafakat Nasional merupakan formula terbaik dalam mengukuhkan kedudukan Melayu dan Islam, namun ia telah berubah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Menurutnya, parti politik Islam dan Melayu perlu bersatu serta tidak berkelahi sehingga mengabaikan pembangunan ekonomi negara.

“Muafakat Nasional di peringkat akar umbi masih dalam keadaan baik malah UMNO masih mahukan perkara ini diteruskan. Saya yakin sekiranya ada penganjuran Dewan Muktamar Pas sudah pasti ada yang akan datang.

“Bukan Pas yang memutuskan ‘hubungan’ ini, sebaliknya UMNO yang memberikan kata dua kepada kami sama ada ingin bersama mereka atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Pada pandangan saya sudah-sudahlah berkelahi. Kita kena fikirkan tentang negara dan ekonomi baru kita akan jadi lebih maju,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Mahabbah Media dan Berbuka Puasa bersama Dewan Ulamak Pas Pusat di Hotel Grand Barakah, Ampang pada Sabtu.

Pada 16 Mac lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak cadangan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional, sebaliknya mahu fokus membentuk kerjasama dengan parti Kerajaan Madani.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, parti berkenaan tidak mahu cadangan itu diwujudkan semula dan memberi ruang kepada rakyat untuk membuat penilaian.

Mengulas lanjut, menurut Mohd Asri,dengan keadaan politik pada hari ini, parti komponen di bawah Perikatan Nasional (PN) akan terus konsisten bersama walaupun ditekan pelbagai pihak.

“Kita yakin daripada parti Pas tidak ada ahli yang akan tunduk dengan pelbagai tekanan termasuk membelakangkan parti,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!