Sultan Pahang zahir dukacita insiden lempar bola api KK Mart

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan insiden melempar bola api di cawangan kedai serbaneka KK Mart Sungai Isap di sini hari ini.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Datuk Yahya berkata, baginda menerima sembah maklum polis Pahang mengenai kejadian itu dan menitahkan supaya polis memberi perhatian serius serta mengambil tindakan tegas dan segera berhubung perkara tersebut.

"Paduka Baginda mengecam sekeras-kerasnya dan menyifatkan kejadian tersebut sebagai tindakan yang menyalahi undang-undang serta kepercayaan agama yang sentiasa menitikberatkan keamanan serta kemakmuran.

"Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat, khususnya rakyat Pahang, supaya tidak mudah terpengaruh dengan naratif perkauman yang boleh mengganggu-gugat keharmonian yang dinikmati selama ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Sultan Pahang turut bertitah semua pihak perlu menghormati kedaulatan undang-undang serta tidak bertindak melampaui batas dan mengingatkan rakyat agar menghormati proses undang-undang yang telah diambil oleh kerajaan berhubung kes penjualan stoking tertera kalimah Allah.

"Sehubungan itu, bersempena bulan Ramadan yang penuh barakah ini, Paduka Baginda menyeru semua rakyat supaya berdoa agar negeri Pahang dan negara Malaysia sentiasa diberkati dan dirahmati,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!