Operasi perisikan ancam keselamatan negara

A
A
A

OPERASI perisikan daripada kumpulan pengganas yang tinggal di negara ini merupakan ancaman terbesar yang mampu menggugat keselamatan dalam negara.

Pakar Keselamatan memberi amaran mengenai risiko dan ancaman operasi perisikan Israel di Malaysia susulan penahanan seorang lelaki dari negara haram itu di Kuala Lumpur.

Mereka menggesa kawalan keselamatan negara dipertingkat kerana tidak mahu kes pembunuhan pensyarah warga Palestin yang didalangi ejen Mossad di ibu negara pada tahun 2018 kembali berulang.

Polis telah menahan pasangan suami isteri rakyat Malaysia yang tinggal di Kuala Selangor dipercayai membeli enam senjata api bersama 200 peluru di Thailand sebelum menjual kepada warga Israel tersebut.

Turut ditahan seorang lelaki di Cameron Highlands yang menjadi pemandu kepada lelaki Israel itu.

Kerajaan perlu melaksanakan undang-undang lebih ketat kepada pelancong mahupun warga asing yang datang ke Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga.

Walaupun bergelar ejen perisik, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya membuat kekecohan dengan membeli dan menyimpan senjata api di negara ini.

Sekiranya jumlah ejen perisikan dari luar semakin ramai, ia menunjukkan keselamatan negara semakin rapuh dan mudah terdedah dengan ancaman daripada pelbagai pihak.

Artikel Berkaitan:

Isu melibatkan ejen perisikan seperti Mossad atau Korea Utara yang menyerang beberapa individu sejak beberapa tahun lepas menimbulkan keresahan orang awam.

Dalam pada itu, kemudahan teknologi yang semakin meluas menyebabkan perisik mampu memalsukan dokumen diri mereka sehingga berjaya menipu pihak berkuasa.

Kelantangan Malaysia dalam bersuara soal Palestin menjadi perhatian dunia malah mungkin terdapat pihak yang kurang senang dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membela isu kemanusiaan masyarakat di Gaza.

Oleh itu, kerajaan perlu bertindak dengan lebih proaktif bagi memastikan keselamatan negara dan kedaulatan negara terjamin.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!