AS hantar lebih banyak bom ke Israel
WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden meluluskan perjanjian pembekalan senjata, bom dan jet tempur bernilai berbilion dolar kepada Israel secara rahsia.
Washington Post melaporkan, kelulusan itu merangkumi pembekalan 1,800 bom MK84 seberat 907 kilogram (kg) dan 226kg bom MK82.
Bom seberat 907kg mampu menghancurkan sebuah bandar dan meninggalkan kawah di bumi sedalam 12 meter. Senjata pemusnah itu tidak pernah digunakan oleh tentera barat di lokasi berpenduduk padat kerana risiko menyebabkan kematian orang awam.
Sebaliknya, Israel tanpa rasa bersalah menggunakan bom itu sewenang-wenangnya semasa mengebom kem pelarian Jabalya di Gaza pada 31 Oktober lalu.
Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam sekeras-kerasnya serangan terbabit kerana meragut nyawa 100 orang.
Perkembangan itu dimaklumkan oleh sumber yang enggan identitinya didedahkan kerana ia belum diumumkan oleh pihak bertanggungjawab.
Situasi itu sekali gus menyaksikan AS tidak pernah peduli dengan jenayah genosid yang dilancarkan Zionis Israel kerana menyalurkan bantuan berterusan kepada Israel.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meluluskan pusingan baharu rundingan gencatan senjata di Gaza, sehari selepas mahkamah tertinggi dunia mengarahkan Israel memastikan bantuan sampai kepada penduduk Palestin yang kebuluran.
Walaupun resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengikat keputusan ‘gencatan senjata segera’, pertempuran masih berlaku di Gaza termasuk di sekitar beberapa hospital yang masih berfungsi.
Kementerian Kesihatan di wilayah dikuasai Hamas melaporkan puluhan orang terbunuh dalam serangan berkenaan.
Angka korban itu termasuk 12 sekeluarga yang disyaki terbunuh di rumah mereka di bandar selatan Rafah, yang dibom berulang kali menjelang operasi darat yang diancam Israel.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant memaklumkan IDF akan meningkatkan intensiti serangan dan mengembangkan kempen perang ke atas Hezbollah di selatan Lubnan. - Awani
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!