Wanita ditemukan meninggal dunia atas sejadah
ALOR SETAR - Seorang wanita berusia 59 tahun ditemukan meninggal dunia atas sejadah dalam rumahnya di Taman Inang, di sini, pada malam Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden wanita terperangkap dalam rumah yang berkunci pada jam 8.46 malam.
Menurut beliau, sepasukan anggota BBP Alor Setar tiba di kediaman wanita terbabit tidak lama kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, terdapat mangsa dalam rumah berkenaan dalam tidak sedarkan diri.
"Susulan itu, anggota bomba bertindak memecahkan pintu menggunakan peralatan khas," katanya pada Ahad.
Ahmad Naufal memaklumkan, pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Beliau berkata, mayat wanita itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Tambah Ahmad Naufal lagi, operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.23 malam.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!