Redah hutan, randuk sungai demi buluh lemang

Orang Asli dari suku kaum Temiar (dari kanan) Jaminan, 36, Baharuddin Osman, 25, dan Arman Atan, 27, meredah sungai ketika membawa buluh lemang yang sudah ditebang sewaktu melakukan kerja-kerja mencari buluh bagi memenuhi tempahan musim perayaan Aidilfitri. Foto Bernama

A
A
A

SUNGAI SIPUT - Meredah hutan berbukit sejauh lebih dua kilometer dan meranduk sungai bagi mencari buluh lemang menjadi rutin kepada Orang Asli suku Temiar, Jaminan Alang, 36, sejak empat tahun lepas terutama ketika menjelang lebaran.

Bermula dengan hanya mengambil upah memotong buluh, Jaminan yang berasal dari Kampung Manggis, Pos Yum, di sini, memutuskan untuk mengusahakan sendiri jualan buluh lemang itu secara serius.

Menurutnya setiap kali menjelang hari raya dia menerima tempahan antara 4,000 sehingga 10,000 batang buluh lemang daripada pemborong dan penjual lemang di sekitar Ipoh.

Arman merapikan buluh lemang yang sudah ditebang. Foto Bernama
Arman merapikan buluh lemang yang sudah ditebang. Foto Bernama

"Sebelum masuk hutan saya dan beberapa pekerja lain akan buat persiapan terlebih dahulu iaitu kiraan berapa kali masuk untuk menebang buluh dan berapa ratus buluh untuk dikeluarkan dalam sehari,” katanya ketika ditemui di lokasi menebang buluh di sini pada Ahad.

Jaminan berkata, buluh di kawasan hutan sekitar kampungnya jenis yang sangat berkualiti dan sesuai untuk dibuat lemang kerana agak nipis membuatkan proses membakar lemang tidak mengambil masa lama.

"Satu rumpun buluh boleh dapat 30 hingga 40 batang buluh panjang sebelum dipotong mengikut ruas dan seorang pekerja biasanya akan potong 300 ruas sehari.

Dari kiri: Jaminan, Baharuddin dan Arman berehat seketika sebelum membawa buluh lemang yang sudah ditebang. Foto Bernama
Dari kiri: Jaminan, Baharuddin dan Arman berehat seketika sebelum membawa buluh lemang yang sudah ditebang. Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

"Sebatang buluh lemang biasanya dijual pada harga RM1.40 hingga RM1.50 kepada pemborong atau peniaga kecil bergantung kepada saiz," katanya yang akan masuk hutan untuk mencari buluh lemang seawal dua minggu sebelum hari raya.

Jaminan berkata, walaupun menyedari kerja-kerja mencari dan menebang buluh tugas yang agak mencabar, ia tidak menjadi halangan buat dirinya dan penduduk kampung yang lain demi mendapatkan rezeki buat keluarga.

Baharuddin menarik buluh lemang yang sudah ditebang. Foto Bernama
Baharuddin menarik buluh lemang yang sudah ditebang. Foto Bernama

"Masuk hutan ini memang risiko, namun kami bersyukur setakat ini tiada sebarang kecelakaan atau insiden malang yang berlaku.

"Setakat terguris buluh lemang itu sudah jadi kebiasaan bak kata orang 'alah bisa tegal biasa' termasuk meredah sungai dan berjalan turun naik bukit yang sudah menjadi rutin kami di sini," katanya yang turut berusaha memanfaatkan media sosial seperti TikTok dan Facebook bagi meningkatkan jualan buluh lemangnya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!