Penunggang maut, motosikal bergesel
PORT DICKSON - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Kilometer 14.1 Lebuhraya Seremban-Port Dickson arah Seremban di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian jam 2.45 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 22 tahun menunggang motosikal dari arah Port Dickson ke Seremban seorang diri.
"Siasatan awal mendapati, motosikal mangsa telah bergesel dengan kenderaan nombor pendaftaran tidak pasti dipercayai sebuah motosikal.
"Insiden itu mengakibatkan motosikal ditunggang mangsa terbabas ke besi pembahagi jalan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, mangsa mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sehubungan itu, beliau meminta orang awam atau saksi bebas yang melihat kejadian itu supaya tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Sakinah Ahmad di talian 06-6472222.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!