Ribuan batal sambutan Easter, tanda solidariti untuk Gaza
STOCKHOLM - Ribuan penduduk di Sweden membatalkan sambutan Paskah atau Easter mereka dengan turun ke jalanan sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza pada Sabtu, lapor Agensi Anadolu.
Kira-kira 5,000 penunjuk perasaan berkumpul di daerah Odenplan di Stockholm, menyahut seruan banyak pertubuhan bukan kerajaan untuk menuntut penamatan segera jenayah perang yang didakwa dilakukan oleh Israel di Gaza.
Dengan memegang sepanduk bertulis Children are being killed in Gaza, Stop the genocide dan Palestine forever, peserta juga membawa model yang mewakili kanak-kanak yang telah meninggal dunia di Gaza.
Orang ramai turut melaungkan slogan termasuk 'Bebaskan Palestin, Hentikan pendudukan, dan Israel pembunuh.'
Seorang penunjuk perasaan, Samuel Girma berkata, Israel patut dikecualikan daripada menyertai Pertandingan Lagu Eurovision yang akan datang di Malmo pada 11 Mei.
Serangan berterusan Israel di Gaza sejak 7 Oktober lepas mengakibatkan lebih 32,700 penduduk Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Serangan itu juga menyebabkan kemusnahan besar-besaran, kehilangan tempat tinggal dan kebuluran. - Bernama-Anadolu
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!