Perlindungan keselamatan sosial 24 jam jamin kelangsungan hidup rakyat

Steven menyantuni rakyat ketika hadir pada program anjuran PERKESO.
Steven menyantuni rakyat ketika hadir pada program anjuran PERKESO.
A
A
A

SHAH ALAM – Strategi Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) untuk memberi perlindungan keselamatan sosial 24 jam kepada pekerja akan menjamin kelangsungan hidup rakyat di negara ini.

Menterinya, Steven Sim berkata, menerusi rancangan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu, pekerja akan tetap dilindungi walaupun bencana berlaku di luar waktu serta skop kerja sehingga mengundang keilatan dan menjejaskan daya upaya tulang belakang keluarga untuk menyara kehidupan seisi tanggungan.

Kata beliau, usaha berkenaan mampu memastikan kelangsungan hidup yang lebih baik jika berlakunya musibah terhadap seseorang pekerja sekali gus melengkapi sistem perkhidmatan kebajikan dan sistem perkhidmatan kesihatan sedia ada.

“Contohnya, dengan perlindungan keselamatan sosial 24 jam ini, seorang pekerja yang hilang upaya bekerja secara kekal akan diberi faedah bulanan sehingga 90 peratus gaji bulanan mereka. Jika berlaku kematian, orang tanggungan mereka boleh menerima faedah bulanan tersebut.

“Ini sudah tentu meringankan beban kewangan keluarga mangsa sekali gus meringankan kos-kos berkaitan kebajikan dan kesihatan yang mungkin perlu dibiayai pembayar cukai jika mangsa tidak dilindungi skim seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Steven berkata, unjuran awal menunjukkan manfaat berkenaan boleh dinikmati dengan kenaikan caruman serendah RM11 sebulan untuk tangga gaji paling minimum RM1,500 sebulan.

Bagaimanapun, menurutnya, cabaran untuk pelaksanaan perlindungan keselamatan sosial 24 jam itu adalah dari segi siapa yang akan membayar caruman tambahan tersebut setiap bulan.

Rancangan untuk memberi perlindungan sosial 24 jam kepada pekerja itu merupakan pelan jangka panjang dalam usaha melaksanakan sistem perlindungan keselamatan sosial negara yang lebih menyeluruh bertitik tolak daripada reformasi 100 hari pentadbiran Steven di kementerian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Steven menjelaskan, komponen kedua strategi jangka panjang PERKESO ialah untuk memberikan khidmat pemulihan sebagai perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh.

Menurutnya, dalam tempoh 10 tahun ini, PERKESO mengoperasikan sebuah pusat rehabilitasi berteknologi tinggi di Melaka.

“Seramai 13,680 pesakit telah menjalani rawatan rehabilitasi di Pusat Rehabilitasi PERKESO sejak 2014. Pada tahun 2023, daripada 2,521 pesakit yang menjalani rawatan rehabilitasi, 676 berjaya kembali ke alam pekerjaan.

“Pada penghujung tahun ini, sebuah pusat rehabilitasi PERKESO akan siap dibina di Perak manakala sebuah lagi akan mula dibina di Terengganu.

“Aspirasi Kesuma adalah untuk membina tiga lagi pusat rehabilitasi PERKESO dalam tempoh lima tahun akan datang, termasuk di Sarawak,” tambahnya.

Steven memberitahu, selain itu, bagi memberikan perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan mengurangkan kos operasi, PERKESO akan menubuhkan sekurang-kurangnya sebuah pusat dialisis di setiap negeri dalam tempoh tiga tahun ini.

Kata beliau, ia kerana PERKESO terpaksa berbelanja sebanyak RM300 juta sehingga RM350 juta setahun untuk membiayai perkhidmatan dialisis kepada penerima faedah antara tahun 2020 sehingga 2023.

“Pada masa kini, PERKESO telah membangunkan empat buah pusat dialisis iaitu di Cawangan Klang dan Shah Alam di Selangor serta Cawangan Batu Pahat dan Cawangan Kluang di Johor.

“Pusat dialisis PERKESO akan memberi penjimatan sebanyak 15 peratus bagi setiap kos rawatan dialisis berbanding kos rawatan dialisis kaedah asal iaitu melantik panel pusat dialisis swasta,” kata beliau.

Steven menegaskan, Kesuma turut melakukan pelan jangka pendek dengan menambah baik dasar-dasar PERKESO sedia ada dan pelan jangka sederhana dengan merancakkan kempen promosi skim keselamatan sosial kepada lebih ramai pekerja dalam sektor gig dan sektor ekonomi ihsan.

“Kesimpulannya, Kesuma beriltizam untuk memperkasakan sistem perlindungan keselamatan sosial pekerja melalui satu pendekatan strategik dan sistematik. Sudah tentu ada cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dan sebahagian daripada proses pembaharuan ini mungkin mengambil masa.

“Namun, mengamati sentimen semasa dalam ruang lingkup sedia ada, wujud keperluan mendesak ke arah perubahan minda bahawa perlindungan sosial bukan tambahan bebanan kewangan dalam kalangan majikan mahupun pekerja, sebaliknya pelaburan jangka panjang yang menjamin aspek keberhasilan dan kelangsungan hidup tenaga kerja negara,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!