Arwah buat kejutan beri hadiah telekung hari jadi ibu

Laporan Sinar Harian (kiri) dan Megat Ashman Aqif sempat mengirimkan hadiah telekung sempena hari jadi ibunya, Noor Aishah Abdul Latif, 49, pada 12 Mac lalu.
Laporan Sinar Harian (kiri) dan Megat Ashman Aqif sempat mengirimkan hadiah telekung sempena hari jadi ibunya, Noor Aishah Abdul Latif, 49, pada 12 Mac lalu.
A
A
A

TELUK INTAN - Sepasang telekung berwarna merah jambu menjadi kenangan pemberian terakhir Allahyarham Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni kepada ibunya di sini.

Megat Ashman Aqif, 21, pelajar Malaysia yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand pada Sabtu mengirimkan hadiah istimewa itu sempena hari jadi ibunya, Noor Aishah Abdul Latif, 49, pada 12 Mac lalu.

Menurut Noor Aishah, pemberian itu sama sekali tidak dijangka kerana arwah sebelum ini tidak pernah menyebut mahu membelikannya telekung.

"Saya dah pakai pun telekung baru itu untuk solat dan tarawih. Cantik sangat telekungnya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Melayu, Langkap dekat sini pada Ahad.

Noor Aishah berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu seorang yang suka berdikari hingga sanggup bekerja sambilan setiap kali cuti semester di sana bagi menampung sedikit sebanyak kos pembelajarannya.

Paling mengharukan katanya, anaknya itu tetap mahu mengirimkan duit belanja kepadanya menggunakan bayaran gaji yang diterima.

"Baru ini dia beritahu, Aqif ada kirim duit sikit dekat ibu. Saya kata kenapa Aqif bagi dekat ibu, sepatutnya ibu yang bagi pada Aqif.

"Dia kata tidak mengapa, dia lakukan begitu kerana mahu berkat dan doa seorang ibu.

Artikel Berkaitan:

"Aqif memang anak yang baik. ALLAH pinjamkan dia kepada saya selama 21 tahun dan dalam bulan Ramadan dia sedang berpuasa, ALLAH ambil kembali," katanya sebak.

Suri rumah itu memberitahu, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya pada Selasa lalu menerusi panggilan video di WhatsApp.

Jelasnya, arwah memberitahu bahawa dia dan rakan-rakan akan menduduki peperiksaan pada Khamis dan meminta agar mendoakannya.

"Arwah memang rajin bersembang, sepanjang belajar di sana dia hubungi saya menerusi video call setiap minggu bercerita aktivitinya, kadang-kadang hampir sejam bersembang. Itu membuatkan saya tak rasa dia jauh.

"Arwah ada menyatakan mahu pulang ke Malaysia untuk beraya bersama tetapi saya nasihatinya supaya tidak berbuat demikian memandangkan baru sahaja berada di sana," katanya.

Pada Sabtu, Kementerian Luar menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dalam satu kenyataan memaklumkan dua pelajar Malaysia maut dalam nahas jalan raya pada jam 1.45 tengah hari waktu tempatan.

Menurut kenyataan itu, nahas berkenaan melibatkan lima penuntut Malaysia dengan tiga mangsa yang cedera diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands.

Pelajar yang meninggal dunia ialah Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa, kedua-duanya adalah penuntut University of Canterbury.

Mangsa yang cedera pula dikenal pasti sebagai Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Walton, juga penuntut daripada universiti sama sementara Muhamad Faris Mohd Fairusham adalah penuntut Victoria University of Wellington.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

@sinarharianonline

Jenazah Allahyarham Megat Ashman Aqif dikebumi di Christchurch esok #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #MegatAshmanAqif #Nahas #JalanRaya #NewZealand #Christchurch

Alfatihah - Mashary Rashid Al-Afassy

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!