BPT tiada di pasaran, Azman perlu bertanggungjawab
SHAH ALAM - Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood didesak supaya bertanggungjawab kerana didakwa gagal menangani isu bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) ketika ini.
Desakan itu dibuat Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal susulan tinjauan yang dibuat mendapati BPT tiada di pasaran.
Menurut Syed Abu Hussin Hafiz, Azman perlu bertanggungjawab sepenuhnya memandangkan beliau sebelum ini memberi jaminan 14 juta kampit BPT berharga RM26 untuk 10 kilogram (kg) akan berada di pasaran.
"Setelah 12 hari keputusan yang dibuat NACCOL yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, BPT belum ada di pasaran, sedangkan Azman dalam satu temu bual sebelum ini memberi jaminan.
"Hasil tinjauan saya di 105 lokasi pasar raya di beberapa buah negeri mendapati hanya lima tempat yang mempunyai bekalan BPT, itu pun dalam jumlah yang sangat kecil.
"Jadi, saya minta supaya Azman bertanggungjawab memastikan bekalan beras yang dijanjikan sebelum ini sampai ke semua pasar raya sebab ramai yang menanti untuk beli beras RM26," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan bekalan BPT di beberapa pasar raya dekat sini pada Ahad.
Tambahnya, Ketua Setiausaha Negara juga perlu mengambil tindakan terhadap Azman kerana kegagalannya itu memberi imej negatif terhadap kerajaan.
"Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras gagal untuk menjalankan tugas seperti diharapkan Perdana Menteri dan besar harapan saya agar Ketua Setiausaha Negara ambil tindakan segera terhadap beliau," katanya
Ujar Syed Abu Hussin Hafiz, beliau juga kesal dengan tindakan Azman yang tidak bersetuju dengannya ketika mengemukakan cadangan supaya BPT dijual dengan harga RM30.
"Saya kemukakan ini (harga BPT dijual dengan harga RM30) dalam mesyuarat NACCOL, tapi malangnya Azman mengatakan bahawa masih ada beras RM26.
"Apa yang saya boleh katakan sistem pengedaran ini gagal dan Azman kena bertanggungjawab," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!