Suspek lelaki Israel dikawal ketat 24 jam

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketatkan kawalan terhadap suspek lelaki warga Israel bagi mengelakkan sebarang kejadian di luar kawalan.

Sumber berkata, ia termasuk cubaan membunuh atau mencederakan diri oleh suspek berusia 36 tahun itu.

"Apabila dia ditahan pada Rabu lalu, suspek sudah mengetahui bahawa sebarang perancangan atau misi telah gagal dan dia sendiri mengetahui tentang risiko dihadapinya sekiranya kembali ke negara asal (Israel).

"Maka semasa ditahan kita tidak menolak kemungkinan suspek ini sanggup mengambil apa juga risiko termasuk membunuh diri atau mencederakan dirinya sendiri dengan apa juga keadaan," katanya.

Sumber berkata, PDRM memperketatkan kawalan terhadap suspek termasuk cubaan mana-mana pihak yang ingin mendekatinya.

"Pada masa ini suspek ditempatkan dalam kawalan ketat Polis Kontinjen Kuala Lumpur namun lokasinya tidak dapat didedahkan.

"Berbanding dengan tahanan kes jenayah lain, suspek dikategorikan sebagai berisiko tinggi dan ada pegawai dan anggota yang mengawalnya setiap 24 jam," katanya.

Katanya, kawalan ketat PDRM akan dapat dilihat apabila suspek dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan kebenaran sambung reman atau sebutan kes.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan penahanan suspek warga Israel itu di sebuah hotel di Jalan Ampang, Rabu lalu.

Polis turut menemui enam pistol termasuk SIG Sauer, Smith dan Wesson serta Glock selain 200 butir peluru.

Turut dijumpai, dua pasport dimiliki lelaki berkenaan iaitu pasport Perancis yang digunakannya untuk masuk ke Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu serta satu pasport Israel.

Melalui soal siasat, suspek mendakwa datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga, namun polis tidak mempercayai dakwaan itu.

Pada Sabtu, media melaporkan sepasang suami isteri diberkas polis di bazar Ramadan dekat Kuala Selangor pada Jumaat dipercayai membeli senjata api di Thailand sebelum menjualnya kepada suspek.

Dua suspek masing-masing berumur 42 dan 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota JSJ Bukit Aman di bazar Ramadan di Kuala Selangor pada jam 7.15 malam.

Polis turut menemukan sepucuk pistol dalam sebuah beg galas dalam kereta Honda Jazz di kediaman mereka yang terletak di Kuala Selangor.

Polis sebelum ini turut menahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highlands, Pahang yang dipercayai pemandu kepada lelaki Israel terbabit sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!