Khianat premis KK Mart, pelaku akan dikenakan tindakan tegas - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan tegas akan dikenakan kepada pelaku atau mana-mana individu yang bertanggungjawab melakukan tindakan ekstrem dan khianat di premis serbaneka KK Mart, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Menurutnya, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

"Amaran dan peringatan keras kepada orang ramai untuk tidak mengambil tindakan sendiri berkait isu ini dan apa jua insiden yang berlaku di negara ini.

"Negara (Malaysia) mempunyai undang-undang dan kes membabitkan KK Mart sudah selesai, individu berkaitan sudah dituduh di mahkamah," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tambahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga memantau rapi media sosial sebarang isu berkait kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang mana siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

"Isu-isu berkait sensitiviti agama dan kaum ini sering berulang kali diingatkan, namun masih ada yang tidak ambil iktibar dan pihak polis tidak berkompromi dengan kes sebegini," katanya.

Pada 26 Mac, polis Perak giat mengesan individu yang membaling botol kaca disyaki berisi minyak tanah di kedai serbaneka KK Mart di Bidor.

Selain itu, kejadian sama turut berlaku di premis serbaneka KK Mart di Kuantan, Pahang, pada 30 Mac.

Berikutan insiden terbabit, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil tindakan sendiri dan menegaskan orang awam perlu menghormati dan mematuhi proses perundangan jika terdapat sebarang salah laku.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan tujuh pihak termasuk KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd dan Xin Jian Chang Sdn Bhd yang juga pembekal stoking tertera kalimah ALLAH kepada rangkaian kedai serbaneka itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mac.

Mereka yang didakwa ialah Pengasas, Pengarah dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, 57; isterinya yang juga pengarah syarikat sama, Datin Seri Loh Siew Mui, 53; Pengarah Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Chin Huat, 61, dan isterinya, Goh Li Huay, 62, serta anak mereka, Soh Hui San, 36.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!