3,327 pekerja asing tak buat pengecaman sistem biometrik dianggap PATI

Azhar (tiga dari kiri) menerima cenderamata oleh KAWAT yang disampaikan Ahmad Safri Husnaini sempena majlis ramah mesra bersama pengamal media pada Ahad.
Azhar (tiga dari kiri) menerima cenderamata oleh KAWAT yang disampaikan Ahmad Safri Husnaini sempena majlis ramah mesra bersama pengamal media pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 3,327 pekerja asing yang didaftarkan menerusi program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 di Terengganu belum tampil untuk membuat verifikasi melalui pengecaman sistem biometrik yang berakhir pada Ahad.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu, Azhar Abd Hamid berkata, status mereka yang gagal berbuat demikian akan dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) bermula Isnin.

Menurutnya, seramai 3,528 daripada keseluruhan 6,855 pekerja asing yang didaftarkan di RTK 2-0 di Terengganu telah membuat verifikasi melalui sistem tersebut.

"Setakat berakhir hari ini hanya lebih separuh daripada jumlah warga asing yang hadir ke JIM Terengganu untuk membuat pengesahan sistem biometrik dalam tempoh yang ditetapkan kerajaan.

"Mengikut peraturan yang ditetapkan Kementerian Dalam Negeri, pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk pekerja yang gagal membuat pengesahan itu akan dihentikan pada 30 Jun depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) di pejabat JIM Terengganu pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Imigresen negeri, Mat Amin Hassan dan Presiden KAWAT, Ahmad Safri Husnaini Mohamed.

Menurut Azhar, majikan yang tidak datang membuat verifikasi pula adalah melakukan kesalahan menggajikan pekerja asing tanpa dokumen yang sah mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, jika sabit kesalahan mereka berdepan tindakan denda dan penjara mengikut Seksyen 55B, Seksyen 55E dan Seksyen 56 (1) (d).

"Seramai 712 majikan telah berdaftar di Terengganu melibatkan seramai 6,855 pekerja asing menerusi program RTK 2.0 yang tamat pada 31 Disember tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 598 PATI telah membuat permohonan untuk pulang secara sukarela ke negara asal mereka melalui Program Repatriasi Migran.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 546 ialah pekerja lelaki, 45 perempuan dan tujuh kanak-kanak.

"Negara tertinggi PATI yang membuat permohonan ialah Indonesia, Bangladesh dan Nepal," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!