Jejambat persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting dibuka 1 April
KUANTAN - Jejambat dari persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting di Jalan Persekutuan, Jalan Kuantan-Gambang (FT421) akan dibuka bermula jam 8 pagi, 1 April ini.
Keputusan itu dipersetujui bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Melalui kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin itu berpandangan pembukaan jejambat berkenaan perlu disegerakan sebagai laluan alternatif untuk kemudahan pengguna orang ramai.
Selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas ekoran pertambahan jumlah kenderaan pada waktu puncak dan cuti umum, ia juga memendekkan tempoh perjalanan antara destinasi.
Menurut kenyataan itu, projek pembinaan jejambat tersebut kesinambungan kepada projek pembinaan Jambatan Putra merentasi Sungai Kuantan menghubungkan bandar Kuantan ke Bandar Putra, Tanjung Lumpur yang dibuka secara rasmi pada 21 Februari 2021.
"Projek tersebut dibiayai kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.
"Pembinaan Jambatan Putra dengan kos RM161.4 juta disiapkan secara siap pembahagian pada 25 September 2020 sepanjang 1.85 kilometer.
"Ia merangkumi jambatan baharu sepanjang 451 meter merentasi Sungai Kuantan dan telah dirasmikan pembukaannya pada 21 Februari 2021," jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, projek jejambat dari Persimpangan Bukit Setongkol Ke Kemunting itu merupakan skop kerja tambahan bagi projek pembinaan jambatan itu yang telah diluluskan secara perjanjian tambahan dengan kos RM 47 juta dan disiapkan pada 22 Mac lalu.
"Skop kerja tambahan ini merangkumi pembinaan jalan berkembar empat lorong dari persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting sepanjang 650 meter merangkumi jejambat baharu sepanjang 280 meter merentasi Jalan Persekutuan, Jalan Kuantan Gambang (FT02)," jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, Alexander Nanta Linggi dan Wan Rosdy berharap dengan pembukaan jejambat itu akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada orang awam, khususnya kepada penduduk sekitar.
"KKR dan JKR amat komited dalam membangunkan landskap infrastruktur awam negara demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat," ujar mereka.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!