Penghafaz antarabangsa jadi idola pelajar tahfiz
KOTA BHARU - Menghafaz al-Quran mungkin sukar bagi mereka yang tidak tahu kaedahnya, namun semangat pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah, Pasir Tumbuh menjadikan perkara itu satu cabaran dan pembelajaran baharu buat mereka.
Muhammad Aizzuddin Mohd Zain, 16, mengakui meminati hafazan al-Quran dan mahu bergelar huffaz dalam tempoh kurang dua tahun.
Menurut Muhammad Aizzuddin, selain belajar dengan gurunya, Zulhilmi Mad Rodzi, dia turut membaca al-Quran pada masa senggang dan menghafaz ketika malam.
"Saya suka mendengar beberapa penghafaz hebat dari luar negara termasuk Sheikh Maher Al-Muayqali dan Sheikh Abdul Rahman As Sudais bagi mendapatkan cara taranum terbaik," katanya ketika ditemui di pusat pengajian itu.
Jelasnya lagi, pada hari biasa dia menghabiskan lebih tujuh jam membaca kalam ALLAH SWT itu, namun ketika Ramadan bacaan lebih enam jam tidak termasuk dua kali tadarus pada awal pagi dan selepas solat Zuhur.
Muhammad Aizzuddin yang mula memasuki tahfiz itu kira-kira tiga tahun lalu kini sudah menghafaz 27 juzuk.
"Insya-ALLAH, saya mahu menyambung pengajian di Pondok Moden Kandis, Yayasan Islam Kelantan selepas tamat belajar di sini," katanya.
Rakannya, Muhammad Rifaie Ahmad Syukri, 15, juga menggunakan kaedah mendengar bacaan al-Quran daripada qari antarabangsa melalui YouTube.
"Sepanjang Ramadan, saya dapat menambah bacaan kerana bangun lebih awal dan banyak bertadarus," katanya.
Anak bongsu daripada lima beradik itu mula belajar di Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah pada November 2020 dan mahu bergelar hufaz dalam tempoh tiga tahun.
Sementara itu, mudir maahad berkenaan Mohd Fikri Mohd Kassim tidak menghalang pelajar di situ belajar al-Quran melalui YouTube jika kaedah itu dapat membantu.
Beliau memberitahu, bagi membantu melancarkan bacaan sepanjang Ramadan, semua pelajar bertadarus dua kali sehari iaitu jam 8 pagi hingga 9 pagi dan dari jam 3 petang hingga 4 petang.
"Semua pelajar tiada masalah untuk mengikut rutin harian malah sentiasa bersemangat menghafaz dan kini sudah mencapai juzuk 20," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!