NGO, persatuan penduduk wajar beri penghargaan buat tiga 'hero' polis
SHAH ALAM - Badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk setempat wajar memberikan pengiktirafan terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutamanya tiga anggota polis yang berani menyelamatkan nyawa dua beranak dalam kejadian kebakaran baru-baru ini.
Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia kerana pekerjaan baik berserta peribadi mulia perlu dibalas dengan pengiktirafan bagi menghargai jasa golongan tersebut yang sanggup berkorban masa dan nyawa.
“Cerita-cerita tentang polis baik ini perlu sentiasa ada supaya dapat melahirkan lebih ramai anggota yang menabur bakti kepada masyarakat.
“Dengan cara tersebut, tanggapan negatif terhadap beberapa tingkah laku tidak baik anggota bermasalah sebelum ini dapat dipadamkan sekali gus mengembalikan semula rasa hormat dan nama polis dalam masyarakat.
“Saya percaya banyak lagi sisi positif polis yang berbakti demi masyarakat cuma tak direkod, tetapi wujud,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau mengulas laporan media berhubung tiga ‘hero’ polis yang sanggup menggadaikan nyawa dengan menyelamatkan dua beranak dalam kebakaran di sebuah pangsapuri di Wangsa Maju pada 18 Mac lalu.
Tindakan berani yang ditunjukkan Mohamad Khairul, 32, Mohamad Hazieril, 31, dan Muhammad Shahrul, 25, itu bahkan mendapat pengiktirafan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Lam Thye yang juga Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan) memaklumkan, pengiktirafan itu juga adalah satu inisiatif daripada pengurusan tertinggi untuk menghargai usaha setiap anggota dan ia perlu diberi publisiti meluas bagi membantu memperbetulkan semula persepsi masyarakat terhadap pihak berkuasa.
Tambah beliau, meskipun penghargaan yang diberikan hanya kecil pada pandangan umum, tetapi ia mampu memberikan impak dan makna besar daripada pelbagai aspek.
Jelasnya lagi, kejadian terbabit juga boleh dijadikan contoh kepada staf lain untuk sentiasa mempamerkan sisi positif polis dalam menjadi penyelamat rakyat, walaupun ia bukan tugas hakiki.
“Saya percaya ini bukanlah kali pertama terjadi, tetapi diharapkan supaya akan ada lebih banyak sumbangan anggota polis yang mampu menonjolkan bakti mereka.
“Ketiga-tiga ahli beruniform ini sanggup meredah lautan api demi menyelamatkan nyawa manusia yang tidak mempunyai pertalian darah sesama mereka.
“Akibat tindakan ini juga kita dapat buktikan walaupun polis kerap terpalit dengan pelbagai salah laku hingga mencemarkan imej, ternyata masih wujud sisi positif bahawa polis ialah harapan masyarakat,” ujar beliau.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!