Sebak, gembira dapat beli baju raya
TAMPIN - Membeli baju baharu antara yang ditunggu-tunggu 110 anak-anak dalam kalangan asnaf dan anak yatim di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, Kuala Pilah untuk digayakan pada 1 Syawal nanti.
Malah keadaan itu turut memberikan kelegaan kepada ibu tunggal apabila persiapan raya untuk anak-anak dapat disiapkan selepas kehilangan tempat bergantung.
Sabrina Mad Din, 43, berkata, berat baginya apabila suaminya, Rosli Ibrahim, 55 meninggalkannya kira-kira dua tahun lalu akibat serangan jantung.
"Sebelum ini suami yang siapkan, sukar juga apabila dia tak ada. Bagaimanapun alhamdulillah anak-anak terpilih menyertai program beli baju raya DUN Johol hari ini.
"Ini tahun kedua anak-anak diberi peluang membeli pakaian raya. Sudah memadai buat kami sekeluarga asalkan anak-anak gembira sambut Syawal walaupun secara sederhana seperti tahun sebelum ini," katanya ketika ditemui pada Program Baju Raya De Johol di Mydin Pulau Sebang di sini.
Seorang lagi peserta program, Muhammad Irfan Abdullah, 12, berkata, dia kehilangan bapa tersayang pada 2021 akibat Covid-19.
"Suasana agak berbeza daripada tahun sebelum ini sebab dulu ada ayah, tetapi saya tetap bersyukur sebab dapat beli baju raya dengan kawan-kawan," katanya yang merupakan anak tunggal.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman berkata, ini merupakan tahun kelima penganjurannya membabitkan golongan sasar dengan peruntukan RM200 seorang.
"Mereka bebas memilih pakaian raya yang mereka suka termasuklah kasut dan songkok. Jelas terpancar keceriaan mereka, kita berbahagi rezeki biarlah sama-sama gembira dalam kita nak menyambut raya.
"Nama-nama mereka kita ambil berdasarkan maklumat yang disalurkan daripada Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah dan kaedah itu lebih mudah," katanya yang turut memberikan duit raya kepada kanak-kanak berkenaan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!