Ribuan sertai demonstrasi pro-Palestin di London
LONDON - Ribuan penunjuk perasaan pro-Palestin berhimpun di ibu negara Britain pada Sabtu bagi menuntut gencatan senjata di Gaza dan lebih banyak bantuan disalurkan ke wilayah yang dilanda perang itu.
Demonstrasi yang dianjurkan Kempen Solidariti Palestin itu bermula di Dataran Russell di pusat bandar, sebelum orang ramai berarak ke Dataran Trafalgar untuk perhimpunan pada sebelah tengah hari.
Sebilangan kecil penunjuk perasaan juga hadir untuk protes balas menyokong Israel dengan barisan polis memisahkan kedua-dua perhimpunan itu.
London telah menyaksikan banyak protes pro-Palestin berskala besar sejak Israel melancarkan tindak balas ketenteraannya terhadap serangan Hamas yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada 7 Oktober lalu.
Perhimpunan untuk rakyat Palestin terbukti menjadi perbalahan, menarik kritikan kerana mencetuskan persekitaran yang bermusuhan terhadap orang Yahudi.
Beberapa penggubal undang-undang Konservatif yang memerintah melabelkan mereka sebagai perarakan kebencian.
Polis membuat puluhan tangkapan sepanjang bulan itu kerana melaungkan dan sepanduk anti-Semitik, mempromosikan organisasi yang dilarang dan menyerang pekerja kecemasan.
"Saya rasa penting bagi rakyat Palestin untuk mengetahui orang ramai menyokong mereka. Mereka tidak bersendirian," kata pesara pekerja sosial, Sally Worgan yang mengembara dari Gloucestershire di barat England untuk menyertai perhimpunan itu.
Wakil penganjur, Ben Jamal pula berkata, mereka akan terus menyertai perhimpunan seumpama itu bagi menuntut gencatan senjata di Gaza.
"Kami akan terus berarak. Kami merekodkan, 70 peratus orang awam British mengikut tinjauan pendapat menyokong tuntutan yang kami buat.
"Orang ramai mahukan gencatan senjata kekal dan lebih banyak bantuan dihantar kepada rakyat Palestin di Gaza," katanya kepada Sky News. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!