Maahad tahfiz tertentu dikecualikan proses pemutihan Selangor

Mohd Shahzihan
Mohd Shahzihan
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam proses membuat ketetapan maahad tahfiz tertentu yang akan dikecualikan dalam proses pemutihan.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan berkata, satu jawatankuasa telah dibentuk bagi membuat penilaian elemen dan kriteria dalam pengecualian pemutihan itu.

Menurutnya, mesyuarat jawatankuasa itu dijadual memulakan perbincangan selepas Aidilfitri nanti.

"Perkara ini (pengecualian pemutihan) belum rasmi lagi cuma saya telah diarahkan oleh kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa untuk menentukan dua kategori.

"Jawatankuasa ini diarah untuk mendefinisikan terlebih dahulu kategori ini, sama ada dikecualikan pemutihan atau perlu melalui proses-proses yang diringankan," katanya pada Ahad.

Beliau ditemui pada Program Ijtimak Huffaz Selangor ke-17 menghimpunkan 2,500 peserta terdiri pelajar tahfiz seluruh Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Program berlangsung selama dua hari bermula Sabtu dianjurkan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) dan Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Islam dan Tahfiz Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan berkenaan pengecualian pemutihan itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN).

Artikel Berkaitan:

"Tanggungjawab saya adalah untuk membentangkan elemen dan syarat dicadangkan pengecualian pemutihan dan bergantung kepada kerajaan negeri untuk memutuskan.

Mohd Shahzihan menyampaikan sijil syahadah 30 juzuk PITAS kepada salah seorang penerima.
Mohd Shahzihan menyampaikan sijil syahadah 30 juzuk PITAS kepada salah seorang penerima.

"Saya meletakkan sasaran pembentangan ke MMKN dapat dilakukan pada September ini," katanya.

Januari lalu, Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohamad Fahmi Ngah memaklumkan tempoh pemutihan sekolah agama persendirian di Selangor dilanjutkan sehingga Disember tahun ini susulan garis panduan pemutihan baharu kini sedang dikemas kini.

Mohamad Fahmi berkata, perjumpaan dengan pengusaha sekolah agama persendirian termasuk PITAS, Persatuan Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS) dibuat untuk mengambil kira keresahan mereka dalam penggubalan garis panduan pemutihan baharu itu.

Ujarnya, sementara menunggu garis panduan baharu itu siap, tempoh pemutihan dipanjangkan kepada Disember 2024 untuk memberi lebih masa kepada pengusaha memenuhi syarat-syarat pemutihan sedia ada.

Sementara itu, Pengerusi PITAS, PU Muhamad Hafiz Mohd Haneefa berkata, garis panduan baharu itu dijangka menyelesaikan masalah pengurusan tahfiz yang sebelum ini menghadapi masalah pemutihan.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 100 pusat tahfiz telah selesai proses pemutihan berbaki 400 lagi ke arah tersebut.

"Program pemutihan yang dilakukan sebelum ini hampir gagal kerana tidak banyak maahad yang dapat dibantu disebabkan isu teknikal.

"Justeru menerusi perbincangan dipengerusikan Exco Agama, sebagai permulaan kita memudahkan urusan dokumentasi dan birokrasi tanpa perlu melalui konsultan yang membantu menjimatkan kos antata RM30,000 hingga RM50,000," katanya.

Beliau yakin garis panduan baharu tersebut dijangka mampu membantu pemutihan sehingga 80 peratus.

Dalam masa sama beliau berharap caj pemajuan dan premium tanah dapat dikecualikan disebabkan kebanyakan pusat tahfiz ditubuhkan bukan berasas keuntungan apabila mengenakan yuran dalam kadar minimum terhadap pelajar.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!