Ibu empat anak sayu kenangkan persiapan raya

Siti Rokiah Zakari (kanan) sebak mengenang persiapan raya yang belum dilakukan buat anak-anaknya.
Siti Rokiah Zakari (kanan) sebak mengenang persiapan raya yang belum dilakukan buat anak-anaknya.
A
A
A

KOTA BHARU - Syawal yang bakal menjelma kurang 10 hari lagi mengundang perasaan sebak buat seorang ibu bersama empat anaknya apabila masih belum berkesempatan untuk membeli baju raya.

Siti Rokiah Zahari, 42, berkata, dia belum melakukan persiapan Aidilfitri disebabkan kesempitan hidup dan hanya meraih pendapatan RM30 sehari dengan membantu ibunya, Ramlah Mohamad, 72, mengambil upah mengupas ubi kayu.

“Duit upah kupas kulit ubi kayu untuk dibuat tapai itu digunakan bagi perbelanjaan makan dan minuman selain membayar sewa beli rumah Mesra Rakyat berjumlah RM300 sebulan.

“Jadi, buat masa ini saya masih belum ada duit nak beli baju raya anak-anak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, kesusahan yang dialaminya menyebabkan dia sudah terbiasa tidak dapat membuat persediaan untuk berhari raya sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.

Siti Rokiah (kanan) perlu sentiasa bersama dengan Alif Ramadan (kiri) yang merupakan anak autisme.
Siti Rokiah (kanan) perlu sentiasa bersama dengan Alif Ramadan (kiri) yang merupakan anak autisme.

“Biasanya ibu dan adik-beradik lah yang sudi menghulurkan wang atau membawa saya dan anak-anak membeli-belah baju raya. Walaupun bantuan itu datang daripada darah daging sendiri tetapi saya berasa malu.

"Tetapi apakan daya saya tidak cukup wang dan Aidilfitri kali ini mungkin mereka akan bantu sekali lagi bagi membolehkan kami berhari raya dengan baju baharu,” katanya yang tinggal di Kampung Cherang Hangus, Bekelam, Bachok.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Siti Rokiah berkata, dia juga perlu mengutamakan keperluan anak sulungnya, Alif Ramadan Mohd Azmi, 16, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) autisme manakala tiga lagi anaknya normal dan bersekolah di Tahun Lima, Tingkatan Satu dan Dua.

“Salah seorang anak saya terpaksa menolak tawaran belajar di Maktab Rendah Sains Mara di Jeli kerana kami tidak mampu dan dia kini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Perdana,” katanya.

Siti Rokiah turut memaklumkan Alif Ramadan adalah salah seorang penerima zakat daripada Andalusia Travel & Tours di Masjid Imanul Fa’izin pada Khamis lalu selain mendapat bantuan OKU dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150 sebulan.

Bagi mereka yang berhasrat untuk membantu meringankan beban boleh salurkan ke akaun Siti Rokiah Zakari Agro Bank 2006632000086085.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!