KPDN siasat caj parkir naik harga sekali ganda musim raya
KUALA LUMPUR - Tampal pelekat baharu dengan paparan caj harga sekali ganda lebih tinggi antara tindakan pengusaha parkir kereta di Jalan Tuanku Abdul Rahman dekat sini yang dikesan pihak berkuasa pada Ahad.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, operasi telah dijalankan pihaknya bermula kira-kira jam 4.15 petang di empat parkir kereta susulan tular di media sosial mengenai caj yang tinggi di parkir terbabit.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati keempat-empat parkir ini dipercayai mengenakan caj RM20 kepada setiap unit kereta yang masuk.
"Harga asal ialah RM10 dan telah dinaikkan sekali ganda iaitu RM20 pada musim perayaan ini.
"Siasatan awal turut mendapati harga parkir RM20 itu berbeza dengan musim perayaan Aidilfitri tahun lalu yang hanya mengenakan caj sekitar RM15 sahaja," katanya kepada Sinar Harian selepas operasi terbabit pada Ahad.
Ariffin berkata, pihaknya turut menerima aduan daripada orang awam yang parkir kereta mereka di lokasi terbabit bahawa harga yang dikenakan adalah mahal.
Katanya, KPDN Kuala Lumpur telah mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada empat syarikat berkaitan.
"Ini bagi mendapatkan maklumat berkenaan caj tempat letak kereta yang dikenakan kepada pengguna dan maklumat kos operasi.
"Kesemua syarikat diberi tempoh empat hari bekerja untuk mengemukakan maklum balas bagi tujuan siasatan," ujarnya.
Tegasnya, tindakan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Tambahnya, pengguna digalakkan untuk meminta resit terhadap apa-apa pembayaran bagi belian barangan dan kegagalan membekalkan resit adalah satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!