Bantu Pan-gon persiap Harimau Malaya berdepan Kyrgyzstan, Taiwan
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) sekali lagi digesa untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada skuad Harimau Malaya sebelum mengharungi baki dua perlawanan penting Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Jun depan.
Malah jelas legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail, badan bola sepak negara itu perlu lebih peka dalam membantu pengendali Kim Pan-gon dalam penyediaan pasukan yang mantap sebelum berdepan Kyrgyzstan dan Taiwan.
“Masa untuk kita khasnya FAM itu sendiri move on selepas Pan-gon menafikan dia dan barisan kejurulatihan bersedia untuk meninggalkan pasukan sekiranya khidmat mereka tidak lagi diperlukan badan induk tersebut.
“Malah FAM perlu serius dalam apa keadaan sekalipun memastikan skuad negara mendapat slot perlawanan persahabatan kelas A yang berkualiti selepas pasukan negara tewas dua kali berturut-turut kepada Oman.
“Sebaik-baiknya menjelang Jun tiga perlawanan persahabatan kelas A amat diperlukan anak-anak buah Pan-gon selepas striking force kita tiada langsung yang boleh menghasilkan gerakan berbahaya sebelum ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Pan-gon sebelum itu menegaskan komited untuk membimbing skuad Harimau Malaya sehingga kontraknya berakhir pada hujung 2025.
Malah katanya, beliau tidak menghantar apa-apa surat kepada FAM bagi menyatakan mahu meninggalkan skuad Harimau Malaya.
“Saya memberi jaminan kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bahawa misi saya bersama skuad Harimau Malaya belum berakhir dan saya tidak akan meninggalkan pasukan ini begitu sahaja.
“Misi utama saya untuk membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak automatik ke Piala Asia 2027,” katanya.
Pada masa sama bekas pemain pertahanan Harimau Malaya dan Pahang itu percaya isu Stadium Nasional Bukit Jalil yang berlarutan turut mempengaruhi momentum Harimau Malaya.
Jelas Jamal lagi, FAM seharusnya menggunakan dua lagi venue iaitu Stadium Sultan Ibrahim atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sekiranya berlaku lagi insiden yang melibatkan rumah Harimau Malaya tersebut.
“Ya, dua venue ini tidak sebesar Stadium Nasional Bukit Jalil, namun sekiranya dua venue ini tidak memudaratkan pemain-pemain why not diberikan untuk perlawanan membabitkan Harimau Malaya?
“FAM pada ketika ini sepatutnya sudah bersedia dengan perancangan awal menjelang Jun untuk stadium alternatif sekiranya Stadium Nasional Bukit Jalil tidak dapat digunakan lagi berikutan isu permukaan padang,” katanya.
Mengenai dakwaan kemelut dalaman badan induk bola sepak negara berkaitan isu pentadbiran yang tular pada Ahad, Jamal menyarankan pihak berkenaan membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasat lanjut.
“Saya rasa sekiranya betul dakwaan tersebut seharusnya perkara ini disiasat dengan pengadu membuat laporan rasmi serta menyertakan segala bukti-bukti.
“Sekiranya ada bukti serah sahaja kes kepada SPRM atau polis supaya siasat lebih rapi dapat dilakukan pihak berwajib, lagi cepat lagi bagus. Sebenarnya banyak ruang yang boleh digunakan untuk membuat sebarang laporan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden FAM Datuk Seri Rosmadi Ismail mempertahan kepimpinan dan pengurusan badan induk itu yang terpalit dengan pelbagai dakwaan serius menerusi satu 'surat layang' pada Ahad.
Malah, jelas Rosmadi, yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, beliau sudah membaca keseluruhan dakwaan yang dikirim melalui e-mel kepada pihak berkepentingan termasuk media itu dan mendapati ia tidak benar sama sekali.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!